Anda di sini

‘Bubu warisan suku kaum di Sarawak’

Advertisement
 Mina Kalum mewarisi bakat membuat bubu daripada bapanya.
DEMI MINAT: Mina Kalum mewarisi bakat membuat bubu daripada bapanya.

SEJAK berumur 12 tahun lagi, bekas Pemanca Kaum Salako Daerah Lundu Mina Kalum, 85, suka mengganggu bapanya ketika membuat bubu.

Walaupun sering dimarah dan ditegur kerana selalu mengganggu orang tuanya, atas dasar minat dan ingin belajar membuat bubu itu telah membuatkan beliau kini akhirnya mewarisi bakat tersebut.

Menceritakan proses membuat bubu, beliau memberitahu untuk menghasilkan sebuah bubu memerlukan lebih kurang seminggu bermula dengan proses mencari rotan dan buluh di dalam hutan.

Buluh dan rotan kemudiannya dibelah, diraut dan seterusnya dijemur antara dua ke tiga hari.

Semakin besar bubu tersebut semakin lama masa yang diambil untuk menyiapkannya.

Terdapat dua jenis bubu yang biasa dibuatnya iaitu ‘bubu baring’ dan ‘bubu duduk’. 

Semasa kudratnya masih kuat beliau ligat ke hutan mencari rotan dan buluh.

Bagaimanapun kini beliau hanya membeli rotan dan buluh daripada orang kampung memandangkan beliau sudah tidak larat lagi ke hutan.

Beliau kini hanya membuat bubu di waktu lapang sahaja dan menjual hasil tangannya ke Pekan Lundu dan Sematan.

Pelancong yang datang ke rumah panjang Kampung Pueh juga berpeluang membeli hasil kerja tangannya untuk dijadikan perhiasan mahupun kegunaan masing-masing.

Beliau bertuah kerana kampungnya menyediakan perkhidmatan ‘homestay’ untuk pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

Selain membuat bubu, beliau juga mahir membuat ‘bangkat’ dalam dialek Salako iaitu bakul untuk membawa bekal seperti makanan dan minuman ke kebun dan sebagainya.

Salah satu lagi hasil daripada kreativiti beliau ialah bakul kecil yang digelar ‘antoro’ yang dianyam menggunakan rotan ‘paladas’ untuk menyimpan biji benih padi semasa menanam padi dan ‘engge’ iaitu bakul yang agak besar untuk menyimpan padi yang diketam semasa musim menuai padi.

Kalau dahulu bubu memang menjadi salah satu peralatan menangkap ikan bagi penduduk kampung di anak-anak sungai berdekatan.

Kini ada sesetengahnya dijadikan sebagai perhiasan di rumah

sahaja.

Dewasa ini, golongan muda kurang berminat belajar membuat bubu serta kraf tangan lain.

Beliau berharap agar generasi akan datang tidak melupakan salah satu peralatan tradisi menangkap ikan ini. 

Lebuh raya Pan Borneo yang sedang dalam proses pembinaan turut melibatkan sebahagian tanah kampung beliau dipercayai akan mampu mengubah dan membangunkan kawasan perkampungan masyarakat Salako di sini.

Dengan siapnya lebuh raya berkenaan kelak akan memudahkan perhubungan dan melancarkan pergerakan dari Sarawak hingga ke Sabah.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Long Panai dalam daerah Baram keturunan Kayan, Ajang Jok, 69, memberitahu dahulu dan kini bubu masih merupakan salah satu alat penting menangkap ikan selain pukat mahupun jala bagi masyarakat Kayan.

Beliau yang juga mewarisi kemahiran membuat bubu daripada mendiang bapanya lazimnya membuat bubu menggunakan buluh dan batang nibung.

Katanya, “Jika nak ikan besar dan banyak, buatlah bubu besar”.

Baginya bubu yang diperbuat daripada batang nibung sangat tahan dan boleh disimpan agak lama berbanding bubu daripada buluh.

Beliau berharap agar kerajaan dapat menyekat dan mengawal penerokaan hutan secara besar-besaran demi melindungi flora dan fauna di dalamnya.

Beliau percaya banyak lagi manfaat diperolehi sekiranya hutan terus terpelihara.

Ajang Jok turut berharap agar kemahiran ataupun pengetahuan membuat bubu ini dapat diwarisi oleh anak, cucu-cicit mahupun generasi akan datang walaupun dunia kini kian moden.

  • oleh
  • Advertisement