Anda di sini

Berita gembira buat Sarawak

Advertisement

Mateo dijangka akan kembali beraksi menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini

 Mateo (tengah) mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan.
DIJANGKA KEMBALI: Mateo (tengah) mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

KUCHING: Penyerang import, Mateo Roskam menghadirkan berita gembira buat kem Sarawak selepas dijangka kembali beraksi pada perlawanan menentang Pulau Pinang, Sabtu ini.

Pengendali Sarawak, David Usop berkata proses pemulihan pemain itu berjalan dengan baik dan beliau tidak menolak Mateo dapat pulih sebelum pertemuan dengan Pulau Pinang.

 “Keadaan Mateo semakin baik dan saya yakin beliau dapat beraksi semula pada Sabtu ini menentang Pulau Pinang.

 “Sememangnya ia berita yang amat kita harapkan kerana skuad amat memerlukan khidmat beliau,” katanya semalam.

 Mateo direhatkan dua perlawanan selepas mengalami kecederaan pada otot paha kanan.

 David turut menyuarakan kelegaan selepas bek lincah, Ramesh Lai Ban Huat juga bakal diturunkan semula pada perlawanan Sabtu ini selepas berehat panjang akibat keretakan tapak kaki kanan.

 Ujarnya, kehadiran semula Ramesh akan memperkuatkan semula jentera pertahanan Sarawak yang agak longgar dalam tiga perlawanan awal sebelum ini.

 “Ia juga satu kelegaan kepada skuad kerana Ramesh adalah pemain yang cukup berpengalaman,” tegas David.

 Apa yang pasti, nasib penyerang muda Nur Shamie Iszuan Amin agak berbeza menurut David.

 Pemain yang dikeluarkan pada separuh masa kedua menentang Pahang Sabtu lepas berdepan kemungkinan direhatkan lebih lama kerana mengalami masalah ketegangan otot.

 “Kita masih menunggu laporan rasmi mengenai tahap kecederaan dialami Shamie. Saya harap kecederaan beliau tidak terlalu serius,” katanya lagi.

 Sarawak akan menentang Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini (11 Februari).

 Skuad pelawat perlu meraih kemenangan untuk keluar dari zon penyingkiran selepas hanya mangutip satu mata dari tiga perlawanan setakat ini.

  • oleh
  • Advertisement