Anda di sini

BDB akan sedia 3,489 unit rumah mampu milik dalam lima tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah Bina Darulaman Bhd (BDB) menyasar menyediakan 3,489 unit rumah mampu milik menerusi pembangunan projek baharu dan perbandaran baharunya dalam tempoh lima tahun akan datang di wilayah utara. 

Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff berkata lebih banyak rumah mampu milik akan dibina menerusi anak syarikat BDB, iaitu BDB Land Sdn Bhd dan BDB Kedah Holdings Sdn Bhd.

Nilai pembangunan kasar bagi semua pembangunan ialah sebanyak RM1.24 bilion, yang mana 85 peratus daripada unit rumah akan dijual dengan harga RM500,000 dan ke bawah, manakala kira-kira 1,800 unit berharga RM200,000 dan ke bawah, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Antara projek rumah mampu milik BDB yang akan dilancarkan pada 2017 termasuklah Indera Apartment, Adra Townhouses dan Aurora Condominiums di Bandar Darulaman, Jitra.

Projek-projek lain yang terletak dalam Bandar Darulaman ialah Panorama Darulaman, Simfoni West dan Simfoni East.

Bagi projek Darulaman Perdana dan Darulaman Utama, produk baharu dalam perancangan termasuklah Topaz, Ivory, Pesona Utama dan Oasis.

Pembangunan perbandaran baharu BDB Land ketika ini sebanyak 3,526 unit dengan nilai pembangunan kasar RM999.5 juta termasuklah 1,688 unit mampu milik dan 1,315 unit kos rendah.

Sementara itu, BDB Kedah Holdings memperuntukkan 428 (71 peratus) daripada 605 unit sebagai unit kos rendah dan 58 (10 peratus) sebagai unit mampu milik daripada pembangunan tanahnya di Kuala Kangsar (RM44.9 juta nilai pembangunan kasar), Serdang (RM35.4 juta nilai pembangunan kasar), Pokok Sena (RM111.7 juta nilai pembangunan kasar) dan Napoh (RM54.4 juta nilai pembangunan kasar).

Baki 119 unit diperuntukkan bagi hartanah mewah (empat peratus) dan unit kos sederhana (15 peratus).

Izham berkata 4,131 unit rumah akan ditawarkan pada 2017 di dua perbandaran baharu, iaitu Darulaman Saujana di Jitra dan Darulaman Putra di Sungai Petani. — Bernama

Advertisement