Anda di sini

Australia mahu Thailand bebas pembunuh

Advertisement

BANGKOK: Seorang lelaki Australia, yang dijatuhi hukuman mati di Thailand minggu ini kerana membunuh seorang bekas anggota Hell’s Angels yang dijumpai bogel dalam kubur cetek, dipercayai dibelasah, merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap pensabitannya.

Wayne Schneider, 38, warga Australia, diculik pada Disember 2015 oleh sekumpulan lelaki bertopeng dari pangsapuri di Pattaya, kota timur Thailand.

Mayatnya dijumpai beberapa hari kemudian selepas penyiasat menjejaki alat GPS dalam van sewa yang digunakan untuk menjalankan penculikan itu.

Seorang lagi warga Australia, Antonio Bagnato, 28, didapati bersalah oleh mahkamah di Pattaya kelmarin dan dijatuhi hukuman mati.

Warga Amerika, Tyler Gerard, 22, didapati bersalah atas tuduhan terbabit dalam penculikan itu dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun setelah bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Australia, yang menentang hukuman mati, berkata Bagnato kini merancang mengemukakan rayuan.

Seorang lelaki Australia telah menerima hukuman mati di Thailand atas tuduhan membunuh dan dia berhasrat untuk mengemukakan rayuan,” kata jurucakap bagi Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan semalam.

Kematian Schneider sekali lagi mengetengahkan elemen penjenayah asing yang berpusu-pusu ke Pattaya, pusat peranginan di tepi pantai dengan daerah lampu merah yang sibuk dan tidak kekurangan jenayah ngeri.

Tokoh dunia gelap dan geng penunggang motosikal Australia kerap pergi ke kota berkenaan.

Schneider pernah dimasukkan ke dalam senarai orang paling dikehendaki Australia kerana menembak lutut seorang pengawal keselamatan di luar sebuah kelab malam di Sydney.

Bagnato turut menjadi suspek dalam satu kes pembunuhan di Sydney pada 2014.

Kedua-duanya berpindah ke Thailand dan memilih untuk tinggal di Pattaya.

ABC News di Australia, yang mengikuti perbicaraan, berkata kedua-dua lelaki pernah menjadi rakan niaga yang kemudian tidak sehaluan, tetapi motif sebenar pembunuhan itu masih belum jelas.

Schneider mempunyai tugu peringatan di sebuah bar di Pattaya yang diusahakan cabang tempatan Hell’s Angels, ABC melaporkan.

Tiga lelaki yang terbabit dalam penculikan itu belum ditangkap.

Thailand sebenarnya amat jarang melaksanakan hukuman mati ke atas banduan di mana hukuman mati terakhir telah dijalankan pada tahun 2009 ke atas dua pengedar dadah yang telah disabitkan bersalah. — AFP

Advertisement