Anda di sini

Syria gantung 13,000 di penjara kejam

Advertisement
 Gambar fail 4 Februari lalu menunjukkan para pejuang Free Syrian Army berehat di pinggir bandar utara al-Bab yang dikawal IS. — Gambar Reuters
PENENTANG REJIM: Gambar fail 4 Februari lalu menunjukkan para pejuang Free Syrian Army berehat di pinggir bandar utara al-Bab yang dikawal IS. — Gambar Reuters

BEIRUT: Seramai 13,000 orang dihukum gantung dalam tempoh lima tahun di sebuah penjara kejam kerajaan Syria berhampiran Damsyik, menurut Amnesty International semalam, menuduh rejim tersebut mengamalkan polisi penghapusan.

Bertajuk ‘Rumah Penyembelihan Manusia: Penggantungan beramai-ramai dan penghapusan di penjara Saydnaya’, laporan Amnesty dibuat berdasarkan kepada temu bual dengan 84 saksi, antaranya, pengawal, tahanan dan hakim.

Ia mendapati bahawa sekurang-kurangnya seminggu sekali antara 2011 dan 2015, beberapa kumpulan sehingga 50 orang setiap satu dibawa keluar dari bilik penjara bagi perbicaraan arbitrari, dipukul, kemudian digantung waktu tengah malam dalam pelaksanaan yang dirahsiakan sepenuhnya.

“Sepanjang proses ini, mata mereka akan terus ditutup.

“Mereka tidak mengetahui bila atau bagaimana mereka akan mati sehinggalah tali gantung disangkut pada leher mereka,” tulis kumpulan hak asasi.

Kebanyakan mangsa adalah orang awam dipercayai menentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

“Mereka akan membiarkan pesalah (tergantung) selama 10 hingga 15 minit.

“Bagi yang masih muda, berat badan mereka tidak akan membunuh mereka.

“Para penolong pegawai akan menarik mereka ke bawah, menyebabkan leher mereka patah,” dedah seorang bekas hakim yang menyaksikan hukuman mati itu.

Amnesty menyatakan amalan itu bersamaan dengan jenayah peperangan dan jenayah antikemanusiaan, namun kemungkinan masih dilaksanakan.

Beribu-ribu banduan ditahan di penjara Saydnaya yang diuruskan pihak tentera, salah satu daripada pusat tahanan terbesar di negara itu yang terletak 30 kilometer di utara Damsyik.

Amnesty menuduh kerajaan Syria melakukan polisi penghapusan di sana dengan kerapkali menyeksa tahanan serta menafikan mereka  makanan, air dan rawatan perubatan.

Banduan diliwat atau dipaksa meliwat antara satu sama lain, dan para pengawal akan memberikan makanan kepada tahanan dengan melontar makanan ke atas lantai sel yang lazimnya dikotori tanah dan darah.

Satu set peraturan khas menguruskan fasiliti tersebut — tahanan tidak dibenarkan bercakap dan harus membuat kedudukan tertentu ketika pengawal memasuki sel mereka.

“Setiap hari dua atau tiga orang mati di bahagian sayap kami. Saya ingat pengawal akan menanyakan berapa ramai yang ada.

“Beliau akan menyatakan, ‘Bilik nombor satu, berapa ramai? Bilik nombor dua, berapa ramai?’ dan seterusnya,” menurut Nader, seorang bekas tahanan yang mana namanya telah ditukar.

Selepas dipukul dengan teruk seharian, menurut Nader, 13 orang mati di satu bahagian sayap penjara itu.

Seorang bekas pegawai tentera menyatakan beliau akan mendengar bunyi tercekik ketika orang digantung di dalam bilik hukuman mati di tingkat bawah.

“Jika anda melekapkan telinga di atas lantai, anda boleh mendengar bunyi seakan-akan orang tercekik,” menurut Hamid, yang ditangkap pada 2011.

“Kami sedang tidur di atas bunyi orang yang tercekik hingga mati.

“Namun saya sudah lali dengannya,” beliau memberitahu Amnesty.

Kumpulan yang sebelum ini menyatakan bahawa lebih 17,700 orang dianggarkan mati dalam tahanan kerajaan di seluruh Syria sejak konflik negara itu meletus pada Mac 2011. — AFP

Advertisement