Anda di sini

Sokong kumpulan Daesh, petani dipenjara lima tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang petani dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah) dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ di dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zairosfitri Jainuddin Azhar, 24, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 15 Julai 2016.

Dalam keputusannya hakim itu berkata kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas adalah serius kerana melibatkan keselamatan awam dan bersifat global.

“Memandangkan awak masih muda dan ada harapan untuk berbakti kepada negara, mahkamah akan memberikan hukuman yang jadi pengajaran kepada awak dan masyarakat bagi membantu masyarakat untuk menghapuskan kumpulan ini,” katanya.

Zairosfitri dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan gagak hitam di Blok A, Perumahan Awam 2, Chenderiang, Batang Padang, Perak, antara 25 Mac 2016 hingga 17 Jun 2016.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara seumur hidup atau tidak  melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, Zairosfitri mula menyertai kumpulan perbualan gagak hitam yang mempunyai 66 ahli di dalam applikasi Telegram menggunakan talian telefon yang didaftarkan atas namanya dengan identiti ‘Zairos N Jack’ serta gambar profil seorang lelaki bertopeng muka dan berjanggut, pada 25 Mac tahun lepas.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dengan identiti ‘Zairos N Jack’ kerap memberikan komen di dalam kumpulan perbualan gagak hitam yang dianggotai oleh orang-orang yang menyokong perjuangan kumpulan pengganas Daesh.

Tertuduh telah memberikan sejumlah 41 komen yang dibuat antara 25 Mac hingga 16 Jun 2016, yang menunjukkan pengetahuannya bahawa kumpulan perbualan gagak hitam itu adalah satu kumpulan yang ditubuhkan untuk menyokong agenda perjuangan kumpulan pengganas Daesh.

Zairosfitri juga telah melakukan sumpah setia (berbai’ah) bagi menunjukkan kesetiaannya kepada kumpulan pengganas itu pada 12.33 tengah malam, 29 Mac 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon hukuman setimpal supaya memberikan pengajaran kepada orang awam memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memberikan ancaman kepada keselamatan negara.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zairosfitri dalam rayuannya berkata anak guamnya merupakan ahli yang pasif dan penglibatannya dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam hanya untuk ambil tahu. — Bernama

Advertisement