Anda di sini

Pemuda dari Brunei didakwa guna dadah berbahaya

Advertisement

MIRI: Seorang pemuda warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Muhamad Nur’nizamuddin Osman, 21, dari Kampung Perpindahan Mentiri, Brunei Darussalam didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta merta menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis THC terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 dengan  memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.40 petang, pada 3 Februari lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan RM2,800 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement