Anda di sini

Noh Paeq terus berkarya bersama Indika Band

Advertisement
__alt__

BERMULA dengan minat menyanyi sejak dari usia yang muda, Noh Paeq Pendi, kini boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam industri muzik tempatan sebagai vokalis kumpulan Indika Band yang diyakini dapat memeriahkan lagi dunia hiburan tanah air dan akan muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

Indika Band telah ditubuhkan secara rasmi pada 20 Disember 2015 dengan line-up awalnya sebanyak enam orang ahli iaitu Paeq selaku vokalis, Skyz (gitaris pertama), Nabil (bassist), Kevin (gitaris kedua), Yasri (keyboardist) dan Ayui (drummer).

Namun pada waktu ini, Kevin tidak lagi menjadi ahli tetap Indika atas sebab tertentu. Walaupun begitu, ada masanya beliau akan bermain bersama Indika sebagai ‘sessonist’.

Menurut kepada Paeq, nama band itu diambil daripada nama sejenis tumbuhan yang sering digunakan dalam bidang perubatan. Dalam konteks nama kumpulan mereka, Indika boleh diibaratkan mampu untuk mengubat hati dan perasaan masyarakat dalam mendengar karya-karya Indika.

Indika yang lebih menjurus kepada balada rock, pop dan muzik universal telah menghasilkan single pertama yang diberi judul ‘Maafkan Daku’ ciptaan sepenuhnya oleh Paeq sendiri dengan menggunakan nama pena Paeqpen iaitu gabungan namanya dan singkatan nama bapanya Pendi.

Dalam satu temubual santai bersama Paeq di pejabat Utusan Borneo baru-baru ini, anak muda berusia 24 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak ini sempat berkongsi perasaan dan harapannya dalam meredah muzik mainstream tanah air.

“Pertama sekali, saya merasa sangat gembira dan bangga kerana peluang seperti ini bukan semua orang boleh dapat. Dan apa yang paling membanggakan saya adalah kerana ‘kamek anak Sarawak’,” katanya yang berasal dari Kpg Sungai Ba, Simunjan.

“Dan apa yang paling penting, saya akan cuba untuk mengharumkan nama Sarawak seperti mana yang telah dilakukan oleh Noh Hujan, Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Mal Imran, Nana Sheme, Ir Radzi dan ramai lagi,” tambahnya.

Bercakap tentang permulaan penubuhan Indika Band, Paeq memberitahu dia sememangnya suka menulis dan mencipta lagu sehinggakan banyak demo-demo lagu yang masih lagi belum diproses.

“Saya sekadar mencuba nasib dengan menghantar demo lagu terbaharu dan Alhamdulillah telah diterima sehingga mendorong Life Records melamar kami sebagai artis di bawah naungan mereka,” jelas Paeq yang melihat Noh Hujan dan Hafiz Suip sebagai idola kerana berjaya membawa perubahan dalam genre masing-masing.

Dan pada 17 Oktober 2016, Indika Band akhirnya menandatangani kontrak rakaman dengan Life Records di Damansara Perdana, Kuala Lumpur.

Menurut Paeq lagi, setakat ini kesemua dua lagu Indika Band adalah ciptaan beliau sendiri selain kadang-kadang turut dibantu oleh rakan-rakan band yang lain.

“Saya mula berminat dalam penulisan lagu sejak dari Tingkatan 3 lagi. Waktu itu, saya hanya sekadar suka-suka dan tidak serius. Sebaik sahaja tamat persekolahan, saya lebih aktif dalam bidang ini sehinggalah ke peringkat universiti,” kata Paeq yang kini masih lagi menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam Sains Sukan.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa belajar dan muzik, Paeq memberitahu dia berusaha mencari masa terluang untuk menulis lagu sementara masa belajar akan digunakan untuk belajar dengan sebaik mungkin.

“Saya tidak peduli dengan apa yang orang kata. Saya cabar diri saya dan melihatnya sebagai motivasi untuk melangkah ke hadapan. Alhamdulillah, saya berjaya ke tahap yang kadang-kadang saya tidak pernah terfikirpun,” katanya.

Menurut Paeq, sokongan daripada keluarga juga merupakan pendorong untuknya berjaya dalam industri yang memang mencabar ini.

“Keluarga selalu memberikan sokongan walaupun kadang-kala mereka juga selalu mengingatkan saya bahawa pelajaran perlu lebih diutamakan. Dari situ saya jadikan bidang ini sebagai hobi atau pekerjaan nombor dua. Jika ada rezeki lebih, saya akan menjadikannya sebagai yang pertama,” kata Paeq.

Selain sokongan daripada keluarga, Paeq juga turut memberitahu bahawa kawan-kawan sekolah dan universiti serta sesiapa sahaja yang mengenalinya tidak putus-putus memberikannya galakan untuk terus bergiat aktif dan berkarya.

“Terutama sekali abang Harry Khalifah. Dialah orang pertama yang membantu saya untuk terus berkecimpung dalam bidang ini. Lagu pertama saya semasa bergiat secara solo ‘Adila’, mendapat sentuhan susunan muzik daripadanya.

“Sehingga sekarang, saya sentiasa jadikan abang Harry sebagai idola sebab saya suka dengan caranya yang tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu dalam dunia hiburan. Dia juga selalu memberi nasihat-nasihat yang sangat berguna,” katanya.

Bercakap mengenai lagu baharu Indika Band, Paeq memberitahu bahawa lagu baharu mereka sudah pun dalam proses studio.

“Insha Allah, akan siap tidak lama lagi namun tajuk lagu masih lagi dirahsiakan atas sebab tertentu. Namun begitu saya juga telah menulis sebuah lagi lagu baharu bertajuk ‘Tabah Jiwa’ yang berkonsepkan lagu trend sekarang untuk diketengahkan,” katanya sambil menambah berkemungkinan lagu itu akan dijadikan single kedua mereka.

Sebagai penutup perbualan, Paeq berharap peminat di Sarawak tidak akan berhenti memberikan sokongan kepada beliau dan juga Indika Band untuk terus memperjuangkan muzik mereka.

“Saya berharap akan terus mendapat sokongan padu daripada peminat di Sarawak dan juga rakyat Malaysia. Saya berharap karya-karya saya dapat diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat. Terima kasih,” katanya mengakhiri perbualan.

  • oleh
  • Advertisement