Anda di sini

Iran beri bayangan positif ke atas import minyak sawit

Advertisement

TEHRAN: Kementerian Pertanian (MOA) Iran memberi bayangan positif bahawa Malaysia mungkin akan menikmati duti import berbeza yang lebih baik ke atas minyak sawit.

Malaysia sedang berunding bagi menurunkan lagi duti ke atas minyak sawit dalam barisan tarif sedia ada dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Minyak sawit ke Iran pada masa ini dikenakan 40 peratus cukai import, sedangkan minyak sayuran lain hanya dikenakan cukai 24 peratus.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata perbincangan dua hala dengan Menteri MOA Iran, Mahmoud Hojatti, menunjukkan tindak balas positif kepada permintaan Malaysia untuk mengurangkan duti import itu.

“Namun, kita masih perlu meyakinkan jabatan kesihatan Iran. Selain melindungi minyak tempatan Iran, kami dimaklumkan bahawa duti yang lebih tinggi itu disebabkan oleh kebimbangan penggunaan minyak sawit terhadap kesihatan,” kata Mah kepada Bernama.

Mah mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Malaysia bagi Minyak Sawit, Getah dan Kayu, ke Iran, dari 5 hingga 7 Feb.

Sementara itu, MOA Iran ialah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan cukai import bagi minyak sayuran di negara ini.

Mah berkata di Iran, minyak sawit berhadapan cabaran disebabkan salah faham ekoran beberapa laporan mengenai persepsi negatif minyak sawit, terutama dari perspektif kesihatan.

Persepsi negatif itu termasuk oleh Agensi Berita Republik Islam (IRNA) pada 22 Sept 2014 yang melaporkan kenyataan Dr Majid Hajifaraji, Presiden Persatuan Pemakanan Iran dan Ketua Kesihatan Negara dan Institut Penyelidikan Teknologi Makanan Iran, bahawa minyak sawit meningkatkan risiko penyakit kardio vaskular.

“Namun sebaliknya, beliau (Dr Majid) telah menafikannya. Dr Majid menjelaskan bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan seperti yang dilaporkan,” kata Mah.

Mah berkata minyak sawit merupakan minyak makan yang sihat, dan salah tanggapan ke atas minyak sawit di Iran perlu ditangani.

Malaysia, menerusi institusi penyelidikan terkenal di dunia, telah melaksanakan lebih 150 kajian pemakanan dengan hasil kajian menunjukkan bahawa minyak sawit merupakan minyak makan yang seimbang dan berkhasiat.

Minyak sawit merah kaya dengan pro-Karotenoid Vitamin A yang menggalakkan gaya hidup sihat, dan ia adalah minyak yang berkesan dari segi kos dengan minyak tepu dan tidak tepu yang seimbang.

“Kami akan bertindak lebih proaktif untuk menangani salah faham ini. Untuk itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan buku kecil maklumat mengenai manfaat minyak sawit dalam bahasa Parsi, pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Iran (POTS Iran 2017).

“Kami akan terus menterjemahkan buku mengenai minyak sawit ke dalam Parsi dan melibatkan diri dengan pengguna di sini.

Minyak sawit Malaysia kini dieksport ke lebih 160 negara dan digunakan dalam pelbagai aplikasi.

“Kami memberi jaminan bahawa minyak sawit dari Malaysia berkualiti tinggi.    

“Minyak sawit Malaysia selamat, sihat dan ditanam menggunakan amalan pertanian yang baik,” kata Mah.

Sementara itu, pasukan dari Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang diketuai Mah, melakukan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Suruhanjaya Kesihaan Parlimen Iran, Ali Nobakht Haghighi.

“Kami berbincang tentang salah tanggapan ke atas minyak sawit di Iran, dan beliau memberi respon positif.

“Kami mencadangkan usaha sama dalam penyelidikan ke atas minyak sawit dengan agensi atau universiti di Iran, dengan pertimbangan menyediakan geran untuk tujuan itu,” kata Mah.

Malaysia juga telah membuka semula Pejabat Serantau MPOB di Tehran bagi menyediakan bantuan teknikal dalam menangani penggunaan komoditi itu di Iran.

“Kami perlu bekerja lebih keras, kerana kita bukan sahaja bersaing dengan minyak lain, malah Indonesia, yang turut melawat Iran dua bulan lepas bagi mempromosikan minyak sawit mereka,” kata Mah. — Bernama

Advertisement