Anda di sini

Dadah: 10 Mac sebutan kes penuntut asing guna THC

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret di sini semalam menetapkan 10 Mac depan sebutan lanjut kes seorang penuntut warga asing dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Manakala tertuduh dibenarkan bebas dengan jaminan RM2,800 berserta dua orang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Awangku Mohd Ishammuddin Pengiran Zainal Abidin, 20, dari Kampung Lambak Kanan, Brunei Darussalam didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki menjalani pengawasan serta merta selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didakwa menggunakan dadah THC yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 dengan memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tertuduh masih menuntut di sebuah kolej di negaranya didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.45 petang, pada 3 Februari lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Advertisement