Anda di sini

Ulin didakwa atas tiga pertuduhan membunuh

Advertisement
 Tertuduh (berpakaian warna oren) diiringi dua anggota polis ke bilik perbicaraan.
DIBICARAKAN: Tertuduh (berpakaian warna oren) diiringi dua anggota polis ke bilik perbicaraan.

KUCHING: Ulin Blukok, 42, didakwa atas tiga pertuduhan membunuh di dua mahkamah berasingan, di sini semalam.

Ulin yang juga penganggur itu pada awalnya dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Chermi Ijau@Noraini Abdullah,52, Joe Steveny Gindi@Mohd Joe Abdullah, 23, dan Daud Abdullah, 64, bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat oleh tertuduh menyebabkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah bunuh tersebut di Kampung Tumu, Batu 10 Jalan Matang, di sini pada jam 3.30 petang pada 22 Januari lalu dan berdepan dakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit salah membawa hukuman mati mandatori.

Majistret Zulhairil menetapkan 8 Mac depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, dalam Mahkamah Sesyen, Ulin mengaku bersalah atas dakwaan cuba membunuh seorang lagi lelaki dalam insiden sama.

Tertuduh dihadapkan di hadapan Hakim Timothy Finlayson Joel yang menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh untuk menetapkan hukuman bagi membolehkan pendakwa raya menyediakan laporan perubatan tertuduh.

Kesalahan tersebut dilakukan ke atas mangsa yang berusia 36 tahun, pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara 20 tahun dan denda.

Tertuduh juga tidak boleh diikat jamin memandangkan semua kesalahan yang dilakukan tidak boleh diikat jamin.

Pada hari insiden yang jatuh pada hari Ahad itu, Ulin didakwa membakar rumah mangsa dan menyebabkan kematian kesemua mangsa.

Tertuduh melarikan diri ke hutan tetapi berjaya ditemui polis sekitar jam 7.30 malam pada hari sama dan parang yang dipercayai digunakan sebagai senjata turut dirampas.

Mangsa yang terselamat dijumpai mengalami kecederaan serius selepas ditetak tertuduh menggunakan senjata tajam.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nie dan Inspektor Hisyam Junaidi bertindak selaku pendakwa raya manakala Ulin tidak diwakili peguam.

Advertisement