Anda di sini

Tidak semua terikat kepada harga minyak

Advertisement

BANGI: Harga runcit bahan api yang menyaksikan satu lagi kenaikan pada Februari, tidak akan menjejaskan penggunaan swasta dengan ketara atau melembapkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 Tidak semuanya terikat kepada harga minyak, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali hari ini.

 “Terdapat banyak petunjuk lain juga (untuk corak pengunaan swasta).

 Penggunaan juga bergantung kepada bagaimana anda melihat ekonomi dan juga situasi domestik serta sektor mana anda melihatnya,” katanya.

 Oleh itu, katanya, penggunaan swasta Malaysia tidak akan berubah dengan ketara disebabkan kenaikan harga runcit bahan api baru-baru ini.

 “Selain itu, Malaysia kekal dalam kumpulan negara yang mempunyai harga bahan api yang lebih rendah dan dengan itu ia tidak dijangka akan menjejaskan pertumbuhan,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama berasingan UKM dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta Bank Dunia di sini, semalam.

 Harga minyak petrol dan diesel Malaysia telah diletakkan dalam sistem apungan terurus sejak 1 Disember 2014, berikutan pemansuhan subsidi bahan api.

 Harga bahan api untuk RON95 dan RON97 dinaikkan 20 sen untuk Februari dan harga diesel pula meningkat 10 sen.

 Turut hadir pada majlis semalam ialah Pengurus Negara Bank Dunia, Faris Hadad-Zervos, Presiden Pengasas IDEAS, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dan Ketua Eksekutif, Wan Saiful Wan Jan.

 Mengenai prospek harga minyak mentah, Hadad- Zervos berkata, ia akan terus turun naik, tetapi tidak mungkin menyaksikan perubahan mendadak pada masa depan.

 “Turun naik itu adalah perkara biasa baharu kepada dunia, tetapi kita tidak mungkin melihat kenaikan mendadak harga minyak sebagaimana yang dilihat pada masa lalu, terutama untuk sebab-sebab teknikal,” tambahnya.

 UKM dan Bank Dunia sebelum itu melancarkan pencarian dua calon bagi menyertai program penyelidikan baharu untuk pelatih di bawah Program Perintis Pelatih Penyelidikan UKMBank Dunia.

 Program itu akan bermula pada April dan calon pelatih adalah mereka yang sedang mengikuti program lepasan ijazah di universiti tersebut.

 Mereka akan menyertai pejabat Kumpulan Bank Dunia di Malaysia pada April.

 Universiti itu juga telah menjalin kerjasama dengan IDEAS untuk meningkatkan minat dalam aktiviti penyelidikan, akademik dan sokongan awam melalui pelancaran Rangkaian Asia Tenggara (SEANET).

 SEANET adalah pusat serantau dalam IDEAS dan memberi tumpuan kepada usaha memangkinkan pembangunan negara-negara ASEAN.

 Kerjasama itu akan menyaksikan IDEAS dan Institut Kajian Antarabangsa Malaysia UKM (IKMAS) mengendalikan SEANET dan bekerjasama dengan pembuat dasar di ASEAN mengenai hak cipta, pergerakan barangan dan penduduk yang lebih bebas serta pertumbuhan terangkum.

 UKM juga menganugerahkan Felo Diraja UKM kepada Tunku Zain Al- Abidin Tuanku Muhriz. — Bernama

Advertisement