Anda di sini

Terengganu, penerima geran SME Corp tertinggi tahun lepas

Advertisement
 Ahmad Maslan (tengah) meletakkan biskut coklat ke dalam bekas sewaktu meninjau pembuatan biskut selepas merasmikan kilang biskut RMT Timur Qaseh Sdn Bhd di Ajil, semalam. — Gambar Bernama
TUNJUK BAKAT: Ahmad Maslan (tengah) meletakkan biskut coklat ke dalam bekas sewaktu meninjau pembuatan biskut selepas merasmikan kilang biskut RMT Timur Qaseh Sdn Bhd di Ajil, semalam. — Gambar Bernama

KUALA BERANG: Tereng­ganu merupakan penerima geran Program Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sed­erhana (PKS) Bumiputera (BEEP) daripada SME Corp yang tertinggi, iaitu RM27.29 juta daripada peruntukan se­banyak RM221 juta sehingga 31 Dis tahun lepas.

Timbalan Menteri Perda­gangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Mas­lan berkata sebanyak 209 PKS dari negeri ini daripada 1,518 buah syarikat lain di seluruh negara menerima geran tersebut.

“Kerajaan memberi geran itu kepada PKS sebagai bantuan untuk membantu perkembangan perniagaan yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Syarikat RMK Timur Qaseh Sdn Bhd di sini semalam.

Turut hadir Pengarah SME Corp Terengganu Muham­mad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu Dr Tengku Khairi A Rahman.

Syarikat RMK Timur Qaseh mengeluarkan 31 jenis biskut dan menerima geran BEEP sebanyak RM117,000.

Katanya, negeri kedua ter­tinggi yang menerima geran itu ialah Melaka sebanyak RM24.1 juta, diikuti Pulau Pinang (RM16.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM13.1 juta).

Mengenai gesaan pihak tertentu yang mencadangkan kerajaan mewujudkan permit import (AP) khas untuk se­mua produk yang mempunyai unsur babi dan ingin dibawa masuk ke negara ini, Ahmad berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu.

“Sebelum ini, kita ada mengeluarkan AP untuk barangan lain seperti besi dan keluli.

“Mungkin untuk barangan sensitif seperti barangan berasaskan babi akan diper­timbang untuk AP, tetapi kita akan kaji dahulu se­belum keputusan dibuat,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan be­berapa pihak mahu kera­jaan mewujudkan AP khas itu supaya dapat mengesan pihak yang terlibat dalam mengimport barangan yang mempunyai unsur babi. — Bernama

Advertisement