Anda di sini

Lelaki dipenjara tiga bulan kerana ugut ibu

Advertisement

MIRI: Gara-gara melakukan ugutan jenayah terhadap ibu sendiri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 9 November tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Abdul Dino Sebri, 33, dari Kampung Sungai Dalam, Batu 6 Jalan Miri-Bintulu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Aisah Abdullah @ Mesa’ah Arih, 64.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 10 pagi, pada 1 November tahun lalu di Kampung Sungai Dalam, Batu 6 Jalan Miri-Bintulu di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia menyesal atas perbuatan dilakukannya itu.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kes tersebut ditetapkan untuk perbicaraan pagi semalam namun tertuduh berhasrat menukar pengakuannya kepada bersalah.

Semasa sebutan pertama kes, tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut dan sejak itu dia ditahan di Penjara Pusat Miri setelah gagal mengemukakan wang jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement