Anda di sini

Untung sebelum cukai Bursa Malaysia turun 2.93 peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Bursa Malaysia Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2016, turun sebanyak 2.93 peratus kepada RM270.6 juta berbanding RM278.8 juta pada tahun kewangan 2015 dalam keadaan tahun yang mencabar bagi pasaran modal seluruh dunia.

Hasil susut sebanyak 2.26 peratus kepada RM506.78 juta berbanding RM518.50 juta pada 2015. 

“Tahun tersebut diwarnai dengan pelaksanaan kawal selia yang lebih ketat dan perubahan serta kekaburan geopolitik. Ini memberi kesan kepada landskap ekonomi global dan meningkatkan keadaan tidak menentu dalam pasaran kewangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tajuddin Atan, dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata keadaan ekonomi global dijangka terus mencabar tahun ini memandangkan ketidakpastian akan kadar pemulihan dalam ekonomi utama global.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, dalam keadaan persekitaran mencabar, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan atas sokongan hasil yang pelbagai, disiplin pengurusan kos yang mampan dan usaha pembangunan berterusan.

Beliau berkata pada 2016, Bursa Malaysia melancarkan dua inisiatif pembangunan utama.

Inisiatif pertama ialah Bursa Malaysia-i, platform bursa sekuriti Islam bersepadu menyeluruh pertama dunia, dan yang kedua, pengenalan kontrak Niaga Hadapan Timah untuk melengkapkan kontrak Niaga Hadapan Emas dan meluaskan lagi penawaran produk bursa itu.

“Bursa Malaysia terus komited untuk mengekalkan keyakinan dan integriti pasaran.

“Kami juga merancang mengembangkan peranan pembangunan kami dengan menyediakan akses lebih baik untuk mengumpul dana kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam pasaran tempatan, mengukuhkan kedudukan nilai Islam kami dan meluaskan jejak serantau kami di ASEAN,” katanya.

Tajuddin berkata Bursa Malaysia menyasar untuk membukakan lagi akses kepada pasaran bagi memberikan peluang lebih besar kepada pelabur untuk berniaga dan melabur.

Bursa itu kekal yakin dalam berhati-hati meskipun keadaan turun naik pasaran dan akan terus menyokong agenda pertumbuhan bagi pasaran modal, katanya.

“Institusi domestik dijangka terus menyediakan sokongan mudah tunai kepada pasaran ekuiti memandangkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya. — Bernama

Advertisement