Anda di sini

Sembilan kakitangan awam di Sri Aman terima APC

Advertisement
 Jonathan (barisan belakang, berdiri enam kanan), Masir (barisan belakang, tujuh kanan), Nyalau (barisan belakang, lima kiri), Philip (barisan belakang, empat kiri), Ismawie (barisan belakang, tiga kiri) serta tetamu lain bergambar kenangan bersama penerima APC 2015, Pentadbiran Bahagian Sri Aman.
SYABAS: Jonathan (barisan belakang, berdiri enam kanan), Masir (barisan belakang, tujuh kanan), Nyalau (barisan belakang, lima kiri), Philip (barisan belakang, empat kiri), Ismawie (barisan belakang, tiga kiri) serta tetamu lain bergambar kenangan bersama penerima APC 2015, Pentadbiran Bahagian Sri Aman.

SEMBILAN kakitangan kerajaan telah menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 pada Malam Majlis Sanjungan Budi dan Lambaian Kasih dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Pentadbiran Bahagian Sri Aman di Hotel Seri Simanggang, baru-baru ini.

Sembilan penerima APC berkenaan terdiri daripada tiga kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, dua orang dari Pejabat Daerah Kecil Lingga manakala masing-masing seorang dari Pejabat Daerah Sri Aman, Pejabat Daerah Lubok Antu, Pejabat Daerah Kecil Pantu dan Engkilili.

Majlis penyampaian APC berkenaan telah disempurnakan oleh bekas Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh yang turut diraikan bersama menerusi majlis berkenaan.

Jonathan ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertugas di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, Lubok Antu serta Pejabat Daerah Kecil Lingga, Pantu dan Engkilili atas kerjasama erat sepanjang beliau bertugas di Sri Aman selama lima tahun lapan bulan bermula pada 5 Ogos 2011 sehingga 13 Januari 2017.

“Banyak pembangunan yang telah kita lihat bersama sepanjang saya bertugas di Sri Aman ini dan saya berharap segala pembangunan yang datang dapat diteruskan oleh Residen Bahagian Sri Aman yang baharu selepas ini.

“Teruskan kerjasama yang erat bersama Residen Bahagian Sri Aman yang baharu selepas ini agar segala pembangunan yang dirancang dan bakal dilaksanakan di sini selepas ini berjalan lancar serta mengikut perancangan asal,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Residen Pembangunan Bahagian Sri Aman Philip Peter Salam yang mewakili Residen Bahagian Sri Aman yang baharu ketika menyampaikan ucapan alu-aluan turut mengharapkan majlis APC ini akan memberikan suntikan semangat kepada kakitangan yang belum menerima anugerah ini.

“Kita berharap pengiktirafan yang diberikan kepada kakitangan kita yang cemerlang sepanjang tahun 2015 lepas dapat menyuntik semangat kepada kakitangan kita yang bakal menerima APC untuk tahun 2016 nanti,” ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, Menteri Muda Pertanian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh dan Pemanca Lee Siang Hua.

Sementara itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah, persembahan lagu-lagu karaoke serta kebudayaan oleh Kumpulan Panggau Libau 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang.

  • oleh
  • Advertisement