Anda di sini

Peraturan baharu untuk pengeksport makanan ke AS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengeksport makanan Malaysia ke Amerika Syarikat berkemungkinan besar perlu menjalani proses pengauditan di peringkat kilang serta prosedur simpanan rekod masing-masing selaras penguatkuasaan peraturan Program Pengesahan Pembekal Asing (FSVP) oleh Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), bermula Mei 2017.

Dalam satu kenyataan semalam, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata langkah itu sebahagian daripada Akta Keselamatan dan Pemodenan Makanan 2011 yang bertujuan memastikan pembekal asing mematuhi aspek keselamatan dan pengimportan makanan.

Ia mewajibkan pengimport tidak berkecuali mewujudkan prosedur bertulis bagi tujuan penilaian bahaya dan risiko membabitkan setiap pembekal asing serta makanan import berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros mengingatkan kalangan pengeksport makanan Malaysia ke AS serta yang berhasrat memasuki pasaran itu, agar melaksanakan langkah sewajarnya untuk mematuhi semua syarat keselamatan yang ditetapkan.

“Menerusi cara ini, ia tidak hanya memberi kelebihan kepada mereka tetapi turut mencerminkan kewibawaan pengeksport Malaysia untuk memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shahreen juga menyifatkan prospek bagi makanan diproses di pasaran AS kekal luas sejajar permintaan penggunanya yang mahukan makanan yang pelbagai, berkualiti serta mudah diperolehi.

Peraturan FSVP itu juga bertujuan membolehkan para pengimport makanan yang berpengkalan di AS menjadi lebih bertanggungjawab dalam memastikan produk import mereka dihasilkan mengikut kaedah serta konsisten dengan piawaian keselamatan makanan AS.

Lebih khusus lagi, para pengimport perlu bertanggungjawab menentukan atau boleh menjangkakan risiko setiap makanan, baik secara fizikal atau kimia termasuk aspek radiologikal dan mikrob.

“Pengimport perlu (mampu) menilai risiko dalam setiap makanan berdasarkan analisis bahaya dan prestasi pembekal asing.

“Berdasarkan maklumat ini, pengimport perlu meluluskan pembekal dan mewujudkan aktiviti pengesahan pembekalan (SVA) yang sewajarnya,” kata MATRADE.

Pengimport juga bertanggungjawab penuh menjalankan SVA dan melaksanakan langkah pembetulan bagi sebarang tindakan bertentangan dan prosedur berkaitan perlu didokumen serta dipatuhi oleh pengimport.

Menurut MATRADE, pengeksport Malaysia perlu maklum bahawa program FSVP itu adalah khusus untuk setiap makanan serta pembekal dan pengimport terbabit akan menentukan SVA mana yang wajar mengikut penilaian risikonya.

“Salah satu aktiviti iaitu pengauditan tahunan kemudahan disediakan pembekal, secara amnya diperlukan apabila timbul kewajaran bahawa pendedahan (makanan) kepada bahaya itu boleh memberi kesan kesihatan serius atau menyebabkan kematian manusia mahupun binatang,” katanya.

Eksport makanan diproses Malaysia ke AS mencecah AS$155.4 juta (RM639 juta) bagi tempoh Januari-November 2016.

Antara produk eksport utama itu termasuk koko dan produk berasaskannya, bijirin, makanan laut siap diproses serta buah-buahan yang sudah siap disediakan. — Bernama

Advertisement