Anda di sini

Mahkamah tangguh 28 Feb sebutan pasangan miliki dadah

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menangguhkan sehingga 28 Februari ini untuk sebutan lanjut kes sepasang warga asing dituduh memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan warga asing diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

David Sontoni Tjung, 47, dan Desty, 24, kedua-duanya dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.63 gram (berat kasar).

Methamphetamine adalah tersenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 malam, 5 Oktober tahun lalu di bahagian dapur sebuah rumah di Jalan Krokop 5 di sini.

Advertisement