Anda di sini

Wanita warga emas didakwa tipu lebih RM250,000

Advertisement

BATU GAJAH: Seorang wanita warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tujuh pertuduhan menipu tiga lelaki membabitkan barangan sejuk beku bernilai RM251,097.80, tahun lepas.

Norrokiah Ishak, 65, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Mengikut kertas pertuduhan satu hingga tiga, Norrokiah didakwa menipu Yusof Othman mengenai kerja-kerja membekal 3,600 ekor ayam kampung dan 220 kotak daging sejuk beku.

Bagi mendorong lelaki itu untuk percaya kerja tersebut, tertuduh membuat pembayaran menerusi cek berjumlah RM178,689 di Stor Sejuk Beku No.223 & No.221 Jalan Pusing di sini, antara Februari hingga Mac tahun lepas.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menipu Ahmad Rushdan Abdul Razak sehingga lelaki itu menyerahkan 500 pek burung puyuh sejuk beku bernilai RM9,700 di premis perniagaan di Jalan Pusing, di sini, Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan lima hingga tujuh pula, Norrokiah didakwa menipu Mahfuz Opir dengan hanya membayar RM17,000 dan tidak menjelaskan baki RM62,708.80 bagi pembelian 7,258kg daging sejuk beku bernilai RM79,708.80 di syarikat Boon Foong Trading di sini, Disember tahun lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili Mohd Aidil Arsad.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan wanita itu sebelum ini mempunyai 10 rekod kesalahan lampau membabitkan seksyen yang sama pada 1998 hingga 2001.

Kesalahan yang dilakukan tertuduh juga amat serius kerana melibatkan mangsa yang berlainan dan jumlah kerugian yang banyak,” kata Harris Ong.

Mohd Aidil pula memohon agar anak guamnya diberi jaminan dengan mengambil kira faktor usia serta tertuduh tidak bekerja dan suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya, dua hari lepas.

Mahkamah kemudian mebenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Bernama

Advertisement