Anda di sini

Suami isteri dikenakan bon berkelakuan baik

Advertisement

SEREMBAN: Sepasang suami isteri, masing-masing dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dan cagaran RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mereka mengaku salah terhadap 24 pertuduhan memiliki cap pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar Seremban yang palsu.

Arifin Musa dan isterinya Nor Amalina Nor Azhar, masing-masing membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Nurulfitriza Abd Latif, selepas 12 pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan secara berasingan.

Arifin, 34, yang bekerja sendiri dan Nor Amalina, 30, yang merupakan suri rumah didakwa memiliki cap pegawai perubatan yang palsu itu di No.128, Jalan Casurina 2, Taman Casurina, Paroi, di sini pada 25 Mei, 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Bagi setiap pertuduhan itu, masing-masing dikenakan cagaran RM500 dengan seorang penjamin daripada anggota keluarga.

Sementara itu di mahkamah yang sama, dua beradik masing-masing dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dan cagaran RM4,800 dan RM3,600 selepas mereka  mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit hospital kerajaan yang palsu.

Mohamad Nazri Mohamad Arof, 36, menghadapi empat pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit bertarikh 1, 7 dan 14 Julai dan 11 Ogos 2014 manakala adiknya Muhamad Yusof, 32, menghadapi tiga pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit bertarikh 1, 9 dan 17 Julai 2014.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Syarikat SWM Environment Sdn Bhd, Oakland Industrial Park di sini mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement