Anda di sini

Public Bank catat untung sebelum cukai RM6.55 bilion

Advertisement

Pencapaian hasil daripada amalan perbankan berhemat

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Public Bank Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2016, naik kepada RM6.55 bilion berbanding RM6.49 bilion pada 2015.

Perolehan meningkat kepada RM20.10 bilion semasa tempoh dalam kajian daripada RM19.20 bilion yang dicatatkan sebelumnya, menurut syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Pengasas/Pengerusi Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata pencapaian berkenaan hasil daripada amalan perbankan berhemat dan strategi pertumbuhan biasa yang proaktif oleh kumpulan, memberi kelebihan dalam landskap perbankan semasa yang kompetitif.

Kumpulan menunjukkan keupayaan menjana keuntungan yang stabil dalam persekitaran operasi yang mencabar,” katanya.

Teh berkata bank kekal berada di barisan hadapan dalam kalangan bank domestik yang setara dengan memberikan pulangan bersih yang tinggi bagi ekuiti pada 16.5 peratus serta mengekalkan nisbah pinjaman rosot nilai kasar yang rendah pada 0.5 peratus, dan nisbah kos kepada pendapatan yang efisien sebanyak 32.3 peratus pada 2016.

Kumpulan mencatatkan jumlah pertumbuhan pinjaman sebanyak 7.5 peratus, dengan pertumbuhan pinjaman domestik pada 7.2 peratus berbanding pertumbuhan pinjaman domsetik bagi industri perbankan pada 5.3 peratus, peningkatan bahagian pasaran sebanyak 17.7 peratus dalam pasaran pinjaman domestik.

Jumlah deposit daripada pelanggan naik 2.9 peratus kepada RM310 bilion.

Jumlah pendapatan bersih kumpulan bertambah 4.3 peratus kepada RM9.96 bilion, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam pendapatan faedah bersih dan pendpaatan bayaran komisen.

Keuntungan sebelum cukai bagi operasi seberang laut kumpulan meningkat 8.5 peratus daripada RM572 juta pada 2015 kepada RM621 juta pada 2016, menyumbang 9.5 peratus kepada keseluruhan keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi 2016.

Memandangkan prestasi bank yang memberangsangkan pada 2016, Teh berkata lembaga pengarah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 32 sen, menjadikan dividen tahun penuh 2016 kepada 58 sen.

Beliau juga positif terhadap kemampanan pendapatan kumpulan bagi tahun ini.

Kumpulan itu akan merangka strategi tumpuan utama ke atas pertumbuhan dalam perniagaan perbankan runcit dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai bank utama yang cemerlang,” kata Teh. — Bernama

Advertisement