Anda di sini

Cafè Malaysia 2017 jana impak ekonomi RM10 juta kepada negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cafè Malaysia 2017 dijangka menjana impak ekonomi bernilai RM10 juta kepada negara dan RM5 juta daripada perbelanjaan pengunjung pada pameran tersebut.

 Edisi tahun ini akan menyaksikan 138 peserta pameran dari 18 negara berbanding 102 dari 13 negara pada tahun lepas.

 Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata lebih 10,000 orang dijangka mengunjungi pameran tersebut, yang akan diadakan dari 12-14 Jan, 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE di sini.

 “Pengunjung juga akan terdiri daripada barista, ‘cafè and coffee purveyor’, pengedar peralatan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pameran itu di sini baru-baru ini.

 Pameran tersebut, anjuran Conference and Exhibition Management Services Pte Ltd (CEMS), dihoskan oleh Persatuan Kopi Istimewa Malaysia (MSCA).

 Pengarah Urusan CEMS Group, Edward Liu, berkata pada edisi tahun ini, program baharu, Forum Kopi Malaysia, akan melibatkan Juara Barista Dunia 2015, Sasa Sestic, sebagai ahli panel.

 “Kejohanan utama juga akan diadakan seperti Malaysia National Barista Championship, Malaysia Brewers Cup Championship dan Malaysia Latte Art Championship,” kata Liu.

 Sementara itu, Presiden Persatuan Kopi Istimewa Malaysia, Yip Leong Sum, berkata industri kopi meraih pertumbuhan yang positif dalam beberapa tahun ini, dipacu oleh pembangunan bandar yang meningkat di negara ini.

 “Peningkatan permintaan bagi kopi istimewa adalah didorong oleh pilihan pengguna muda berikutan bru khasnya.

 “Pertumbuhan ini dapat dilihat melalui peningkatan bilangan kafe yang ketara, terutamanya di sini dan bandarbandar utama,” kata Yip.

 Beliau berkata pada masa ini, banyak francais dijangka meneroka Malaysia, termasuk dari Korea Selatan sejajar dengan peluang keusahawanan susulan halangan kemasukan yang rendah.

 “Pada masa ini, kami mengharapkan pembukaan empat hingga lima perniagaan baharu pada setiap minggu berbanding beberapa kafe sebulan sebelum ini. Ini menyediakan peluang kerjaya kepada mereka yang ingin menjadi barista,” katanya.

 Yip berkata potensi pasaran akan berkembang dan industri tersebut antara segmen paling pesat berkembang dalam perniagaan restoran.

 Cafè Malaysia merupakan pameran teknologi, bekalan dan peralatan kafe antarabangsa tahunan, yang berfungsi sebagai platform perniagaan kepada perniagaan yang dinamik untuk memenuhi keperluan kafe dan meneroka kerjasama dan peluang baharu.

 Delegasi perdagangan akan diperkenalkan kepada inovasi, teknologi dan pembangunan terkini di bengkel eksklusif, kelas dan demonstrasi oleh pakar-pakar industri.

 Acara itu disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia. — Bernama

Advertisement