Anda di sini

Bekas pegawai khas menteri dituduh terima suapan

Advertisement

Didakwa menerima RM80,000 daripada seorang kontraktor

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai khas kepada seorang menteri kabinet dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM80,000 daripada seorang kontraktor, tiga tahun lepas.

Zailan Jauhari, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Asmadi membenarkan Zailan dibebaskan dengan jaminan RM30,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 13 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada Isnin minggu pertama setiap bulan.

Tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM20,000 dan cek bernilai RM60,000 sebagai upah kerana membantu dua syarikat mendapatkan tender bagi kerja-kerja pembersihan sekolah dalam daerah Kuala Selangor.

Zailan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kuala Selangor, antara jam 7.30 malam dan 8 malam, pada 8 Jan 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Selangor, Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000.

Peguam Fadzil Manan, yang mewakili Zailan, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kepada RM10,000 atas alasan tertuduh bekerja secara kontrak dengan jabatan kerajaan dengan pendapatan RM2,300 sebulan, selain perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak berumur lima, lapan dan 10 tahun.

Selain itu, beliau berkata tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada SPRM setiap kali dipanggil untuk siasatan dan tetap hadir ke mahkamah walaupun hanya tahu akan didakwa semalam.

Mohammed Heikal kemudian berkata, tertuduh telah ditangkap pada 2014 dan dibebaskan dengan jaminan SPRM, namun beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa tertuduh tidak pernah hadir ke pejabat SPRM untuk menyambung ikat jamin.

Tertuduh hadir hari ini (semalam) pun kerana pegawai SPRM yang serbu rumahnya,” katanya. — Bernama

Advertisement