Anda di sini

Azharina akui hati perlu kental, berjiwa batak untuk berjaya

Advertisement
__alt__

DI sebalik persembahan hebat pelantun lagu ‘Elegi Sepi’ Azharina Azhar dalam konsert Gegar Vaganza 3 (GV3) Disember lalu, ramai yang tidak mengetahui nilai aksesori dan barang kemas yang digayakan sepanjang pertandingan tersebut.

Keseluruhan barang kemas yang saya gunakan sepanjang konsert tersebut sejak minggu kedua mencecah RM3 juta dan ditaja oleh Cartivia Jewelry,” kata Azharina yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah semasa temu bual dengan Bernama WebTV baru-baru ini.

Sebanyak 10 ‘cover mould’ (sarung) mikrofon yang menjadi ‘trademark’ (lambang) juara GV3 tersebut, dianggarkan bernilai RM60,000 keseluruhannya dan ditempah khas oleh pekerja syarikat beliau.

Yang menariknya, sarung mikrofon tersebut disadur emas 916 seberat 18-25 karat yang dimport dari Hungary. Satu daripadanya merupakan hadiah ulang tahun kelahiran beliau yang “dihadiahkan sendiri” semasa bekas juara Bintang RTM 2001 ini berusia 25 tahun.

Barang kemas yang paling mahal ialah 20 rantai mutiara (potato pearls) asli yang digayakan semasa menyampaikan lagu ‘Berhenti Berharap’ pada minggu pertama. Semuanya ini adalah pelaburan jangka panjang,” kata Azharina, 31, yang lebih mesra dengan panggilan Nina.

NO WOMAN NO CRY’

Azharina berkata beliau menerima tajaan pakaian dari pelbagai pihak termasuk untuk persembahan lagu genre reggae yang dipopularkan oleh Bob Marley berjudul ‘No Woman No Cry.’

Pakaian untuk persembahan tersebut ditaja oleh pereka tersohor Razman Razmi. Bagaimanapun Azharina enggan menganggarkan nilai tajaan tersebut kerana ia adalah milik pereka tersebut.

Razman sebelum ini dipetik sebagai berkata, busana yang dipakai Azharina dalam semua konsert GV3 mengikut tema dan konsep sehingga mencecah lebih RM1 juta. Kos yang dikira pada setiap persembahan bukan sahaja pada baju, sebaliknya nilai barangan perhiasan yang digunakan bersesuaian dengan konsep setiap minggu, tambah beliau.

Azharina yang dinobatkan sebagai juara pertandingan realiti nyanyian itu, membawa pulang hadiah kemenangan yang terdiri daripada wang tunai RM100,000 sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Itali, rantai mutiara, pakej penginapan, baucer barangan tunai, sebuah trofi serta rakaman single terbitan Astro.

Berikut petikan temu bual Bernama WebTV dengan Azharina di unit Portal, Wisma BERNAMA:

S: Apa yang menyebabkan lagu Elegi Sepi begitu popular?

J: Lagu ciptaan Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik nukilan komposer dan bapa saudara saya Julfekar Ahmad Shah dalam tahun 2005, pada asalnya dihasilkan untuk kumpulan nasyid Raihan. Atas beberapa sebab ia menjadi milik saya. Mungkin juga lagu ini kerap dimainkan di corong radio dan mendapat publisiti meluas.

Melodinya yang ‘jiwang’ dan melankolik. Boleh dikatakan ia lagu ‘cari makan.’

__alt__

S: Bagaimana sambutan terhadap lagu-lagu lain?

J: Saya pernah rakam lagu berjudul ‘Cinta Kita Selamanya’ pada 2003 hasil karya terakhir Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Tetapi, seperti lagu sebelumnya ‘Pergilah Cinta’ dan ‘Seandainya’ yang saya hasilkan pada 2003, tidak menerima impak seperti ‘Elegi Sepi’. Bagaimanpun, lagu ‘Pergilah Cinta’ mendapat sambutan di Kalimantan, Indonesia, Brunei, Sabah dan Sarawak.

Lagu ‘Cinta Kita Selamanya’ itu dirakam selama 45 minit hingga 1 jam, dan ia adalah luahan hati seorang ibu kepada anaknya dan bukannya cinta terhadap seorang lelaki. Ia adalah untuk anak saya. Sehingga kini, saya telah menghasilkan 41 buah lagu.

S: Selepas menjuarai Bintang RTM pada 2001, Azharina agak menyepi. Mengapa?

J: Sejak ‘petir’ yang melanda saya sejak 2008, saya hilang dari radar. Sebenarnya, saya masih dalam industri ini sebagai produser dokumentari mengenai Sabah yang disiarkan melalui RTM. Sebanyak 500 dokumentari sudah saya hasilkan sehingga kini.

S: Beralih kepada Gegar Vaganza 3, bagaimana pemilihan lagu dan persiapan?

J: Kami diberi senarai ‘starter kit’ - 41 buah lagu dan 21 genre. Saya ‘lock’ 200 lagu sebagai persiapan saya dalam GV. Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah pemilihan lagu dan berbincang dengan pihak pengurusan dan guru vokal.

Dua bulan sebelum GV3 bermula, saya menjalani latihan vokal dan mendengar beratus-ratus buah lagu. Sebelum membuat persembahan, saya buat penyelidikan mengenai pakaian yang sesuai dengan lagu. Seminggu atau dua minggu sebelumnya, saya sudah sediakan design untuk cover mikrofon serta aspek teknikal seperti penggunaan pentas, lighting (pencahayaan), dsb.

Setiap minggu setting berbeza, dan terima kasih kepada pihak pengurusan GV dan Astro. Mereka banyak membantu saya dari segi mood lighting yang penting semasa di pentas. Peluang ini sekali sahaja seumur hidup. Saya tidak memikir tentang menang, hanya tumpu pada persembahan.

S: Apa komen Nina mengenai ‘drama’ semasa GV3?

J: Ia bukan drama tetapi realiti. Alhamdulillah, ia tidak berlaku pada saya. Bagi Nina, kita kurangkan kontroversi dan lebihkan kualiti. Saya bekerja keras ibarat kuda, kena suntik dengan vitamin. Untuk menghafal lagu, saya tidak tidur malam. Setiap lagu yang diberi, kita perlu atur dengan pengetahuan.

Saya tidak pernah menyanyi lagu Bob Marley dan untuk tujuan itu, saya perlu buat kajian tentang beliau. Dan setiap minggu, saya buat kajian mengenai pencipta lagu yang saya bawa dan perlu faham lirik, termasuk mendengar lagu penyanyi asal melalui youtube untuk dapat idea.

S: Bagaimana Nina menghadapi media sosial, khususnya komen-komen negatif dari netizen?

J: Saya meminta maaf jika ada yang tidak suka saya. Saya hanya manusia biasa. Biasalah kita dalam industri ini, ada yang suka dan ada yang ‘haters.’ Saya sudah meminta maaf dan tidak boleh membahagiakan semua orang. Bagaimanapun, saya terpaksa redha.

Perkara ini tidak wujud pada masa lalu. Sekarang ni kita berdepan dengan situasi semasa. Mula-mula agak mual dan terkejut, tetapi lama kelamaan, saya sudah dapat menanganinya. Dalam industri ini, kita perlu berhati kental, jiwa yang batak. Apa yang saya ‘post’ (paparkan) di Facebook dan Instagram, Nina tak baca komen, tak mahu baca komen yang buruk.

 GV3 beri peluang kedua kepada Azharina. — Gambar Astro
PELUANG KEDUA: GV3 beri peluang kedua kepada Azharina. — Gambar Astro

S: Setakat ini, berapa ramai followers yang ada?

J: Saya bukan artis popular yang mempunyai followers satu atau dua juta orang. Bagaimanapun, saya bertuah kerana mempunyai 100,000 followers yang berfikiran matang dan stabil dengan memberi komen yang membina dan positif.

Mereka adalah lingkungan usia 30 tahun ke atas dan berfikiran matang.

S: Bagaimana dengan jadual Nina selepas Gegar Vaganza?

J: Selepas menyertai GV3, jadual saya kembali padat dengan pelbagai tawaran persembahan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga dari Indonesia dan Filipina. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang datang tanpa saya duga ini di mana banyak sekali tawaran yang datang kepada saya sehingga jadual kerja saya sudah penuh sehingga Mac.

Saya bakal mengadakan konsert solo di Lombok, Indonesia pada 26 Januari dan diikuti dengan persembahan di Zamboanga, Filipina. Peminat saya di Indonesia banyak memberi sokongan dan saya juga ada rancangan untuk memasuki pasaran negara itu dengan berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik Indonesia tidak lama lagi.

Di samping itu, saya juga akan menerbitkan album baharu secara ‘live recording’ tahun depan (2017) yang diterbitkan bersama Julfekar.

Saya adalah anak didik Julfekar. Saya juga akan berduet dengan penyanyi dari Indonesia Rizal Badila di konsert di Lombok.

Sebelum GV3 lagi, saya sudah berbincang dengan pihak Rizal mengenai single duet ‘Seribu Cintaku’ ciptaan beliau dan konsert yang akan diadakan bersama. Ini merupakan peluang keemasan untuk saya melebarkan sayap di sana. Alhamdulillah, single terbaru saya ‘Sekian Terima Kasih’, karya komposer dan penyanyi Dj Fuzz kini kerap dimainkan di corong radio. (Ia juga merupakan lagu tema (OST) drama TV3 ‘Jejak Karmila’.) Saya juga terlibat untuk konsert menyanyikan lagu Tagalog dan Tausug untuk pasaran luar.

Sebenarnya, semua ini berlaku sebelum GV, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana terikat dengan program nyanyian ini.

Bagaimanapun, selepas GV, masa yang diluangkan dengan anak saya Rahmat semakin kurang. Saya rasa saya tidak berubah dan tidak mahu lupa diri. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana orang-orang yang rapat dengan saya seperti sepupu saya Aishah yang juga PA (pembantu peribadi) saya masih menyokong dan setia dengan saya sejak zaman saya jatuh dulu sehingga sekarang.

S: Nasihat Nina buat artis yang bakal menyertai Gegar Vaganza akan datang.

J: Mereka perlu berhati kental dan mempunyai perasaan yang batak. Mesti kerja macam kuda. Yang penting, mereka perlu jadi diri sendiri untuk berjaya dalam pertandingan ini.

S: Apakah ‘passion’ Nina dalam kehidupan?

J: Sejak dahulu lagi, saya dilahirkan sebagai anak seni. Keluarga saya juga dari kalangan orang seni. Saya utamakan keikhlasan dalam persembahan dan mahukan kepuasan sebagai penghibur.

S: Selain menyanyi, apakah aktiviti lain yang Nina lakukan?

J: Saya memiliki empat syarikat iaitu, Azharina Entertainment, Top 3 Production Sdn Bhd, Nina Co Resources dan Glam Media Production. Saya juga presiden Kelab Artis 1Malaysia Sabah.

Di samping itu, saya juga memberi ceramah motivasi kepada wanita, khususnya balu dan ibu tunggal sebagai kerja sosial. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement