Anda di sini

PSSMM peringkat negeri ditubuh

Advertisement
SUMBER TENAGA: Ahmad Puzi (dua kiri) menyempurnakan pelancaran Pasukan Sukarelawan
Simpanan Maritim Malaysia bagi daerah Sandakan.

SANDAKAN: Seramai 108 orang awam di daerah ini dilantik dalam Pasukan Sukarelawan Simpanan MaritimMalaysia(PSSMM) sempena penubuhan PSSMM peringkat negeri yang berlangsung di Ibu Pejabat Daerah Maritim Sandakan (DM 17) di sini, kelmarin.

 Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Sri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pasukan sukarela itu boleh digunakan sebagai sumber tenaga membantu anggota tetap sewaktu diperlukan dalam mengawal perairan negara dari segala bentuk ancaman.

 Selain itu, beliau berkata pasukan berkenaan juga boleh membantu mengawal hasil sumber maritim dari dicerobohi oleh anasir-anasir yang ingin mengaut keuntungan ekonomi dan kekayaan negara.

 Katanya, ia juga membuktikan sebilangan besar rakyat prihatin terhadap keselamatan negara dan sanggup tampil ke hadapan untuk turut serta menyumbang bakti kepada tanah air tercinta dengan menyertai pasukan sukarelawan.

 Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Penubuhan PSSMM Peringkat Daerah Sandakan di Ibu Pejabat DM di Sandakan.

 Penubuhan pasukan itu adalah hasil idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Maritim Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim dimana beliau mahu melihat Maritim Malaysia sentiasa berkembang sebagai sebuah agensi penguatkuasaan berkesan selain memberi fokus kepada keperluan aset dan sumber manusia di perairan Sabah terutama kawasan ESSZone.

 Sabah merupakan negeri kedua yang mempunyai PSSMM selepas Perlis yang telah dilancarkan pada awal Januari ini.

 Menurut Ahmad Puzi, selain menjadi mata dan telinga, pasukan sukarelawan juga bertindak sebagai kapitalis yang berperanan menjadi penyalur maklumat di lapangan kerja mereka seperti di lautan bagi nelayan dan pengemudi pelancongan.

 Jelasnya, ia termasuk melaporkan sebarang kegiatan penyeludupan dan aktiviti lanun, jenayah maritim rentas sempadan, pendatang asing tanpa izin serta pengganas.

 “Kita juga bercadang mengambil 5,000 anggota PSSMM pada masa akan datang dan nisbah sama pegawai APMM dimana anggota sukarelawan juga berpotensi menjadi pelapis pegawai sedia ada dengan komitmen mereka,” jelasnya.

 Dalam pada itu, Ahmad Puzi berkata, tugas Malaysia Post Guard atau Maritim di negara ini tidak hanya terhad di dalam negara sahaja, sebaliknya meluas ke seluruh antarabangsa.

 Sebagai contoh di Selat Melaka, APMM sentiasa mengemas kini asetnya bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

 Selain itu, APMM juga terlibat dalam carilamat dengan 400 ribu kes direkodkan telah berjaya ditangani sejak 12 tahun penubuhannya.

 Manakala, kadar peratusan jenayah juga berjaya diturunkan dari 48.06 peratus diawal penubuhannya kepada 2.6 peratus (kini) yang memperlihat hasil penguatkuasaan berkesan dijalankan APMM.

Advertisement