Anda di sini

Projek RM1.2 bilion Qi City di Ipoh bermula

Advertisement

Jana keuntungan pelaburan dengan memanfaatkan nilai pelbagai komponen: CEO

KUALA LUMPUR: Green Capital Venture (GVC) memulakan projek pembangunan Qi City di Bandar Meru Raya, dekat Ipoh.

 Projek RM1.2 bilion di kawasan seluas 10.4 hektar itu meliputi kediaman bercampur dan pembangunan komersial bandar hab pendidikan bersepadu pertama seumpamanya di negara ini.

 Projek ini dijangkakan siap dalam tempoh tiga tahun.

 “Dengan kejayaan menyiapkan pembangunan ini pada 2020, Qi City menjanjikan pelabur pulangan lumayan.

 “Ia akan menjana keuntungan pelaburan yang baik dengan memanfaatkan nilai yang terdapat dalam pelbagai komponen.

 Pelancaran jualan utama dijangkakan pada Jun.

 “Bagaimanapun, kami mungkin memulakan pelancaran awal pada April,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WQIP Chandragesan Suppiah menerusi satu kenyataan semalam.

 Qi City terdiri daripada hospital pengajar dengan 840 katil, tiga blok kondominium dengan 768 unit kediaman, pusat beli-belah, sebuah pusat konvensyen bagi menampung sehingga 1,500 orang dan 460 unit suite hotel, dan kampus Quest University Perak (QIUP), yang merupakan anak syarikat WQIP.

 GVC, anak syarikat Wawasan QI Properties (WQIP), melantik China Energy Hua Ren Industrial Investment Co Ltd, sebuah syarikat dari China, sebagai kontraktor projek siap guna projek pembangunan bercampur ini.

 “Apabila siap, kondominium dan suite hotel, pembeli boleh mengharapkan pulangan yang tinggi ke atas pelaburan mereka.

 Sejumlah 460 unit suite hotel itu kelak bukan sahaja dapat menampung pelancongan perubatan, bahkan menyediakan penginapan untuk ibu bapa yang melawat anak masing-masing di kampus berkenaan.

 “Selain itu, kerajaan negeri mengunjurkan ketibaan dua juta pelancong setahun ke Bandar Meru Raya.

 Kesan utama penyiapan Taman Tema Animasi serta cadangan pembangunan Taman Air, akan meningkatkan nilai ke atas suite hotel,” katanya.

 Selain terletak berdekatan pusat perniagaan di Bandar Meru Raya serta pejabatpejabat kerajaan, mercu tanda lain di sekeliling pembangunan Qi City termasuk sebuah sekolah antarabangsa swasta, pasar raya besar dan hotel perniagaan.

 WQIP diperbadankan pada 2006 dan sejak itu telah mengurus aktiviti pelaburan hartanah QI Group di Malaysia dan di luar negara.

 Pada masa ini, portfolio kumpulan itu terdiri daripada lima hotel dan dua pusat peranginan, termasuk Prana Beach villas, Prana Resort Nandana, dan Patong Beach Resort suite di Thailand, Asia Leisure Hotel di Sri Lanka, dan Dogan Hotel di Turki.

 Ia juga mempunyai 66.8 hektar tanah tepi pantai di Kuala Rompin Pahang untuk pembangunan. — Bernama

Advertisement