Anda di sini

Pendekatan NBOS bantu ringan beban mangsa banjir

Advertisement

PITAS: Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam membantu mangsa banjir baru-baru ini, adalah usaha berkesan membantu meringankan beban keluarga terjejas banjir di daerah ini.

 Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, mekanisme NBOS yang memerlukan kerjasama semua pihak itu memberi impak menyeluruh kepada masyarakat terjejas banjir.

 Beliau berkata demikian semasa Lawatan Kerja Mangsa Bencana Banjir daerah Pitas, di sini kelmarin.

 Katanya, lawatan itu membolehkan mereka melihat bagaimana peranan dan kerjasama semua pihak dalam membantu penduduk yang terjejas banjir baru-baru ini.

 Beliau menekankan konsep NBOS satu mekanisme relevan yang perlu diteruskan pada masa akan datang.

 Dalam pada itu, Jainab memuji usaha semua pihak membantu penduduk terlibat yang dilihat berupaya meringankan beban keluarga terjejas akibat banjir.

 Sempena lawatan itu, Jainab turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang kepada lima keluarga di ampung Sinukab dan Kanibungan.

 Beliau juga turut sama-sama bergotong-royong bagi membersihkan rumah penduduk terjejas banjir serta masjid.

 Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting, ADUN Banggi Datuk Mijul Unani, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Siti Hameh Ruman, Ketua Wanita Kudat Datuk Aminah Ambrose serta Ketua Wanita Kota Marudu Datuk Redonah Bahanda.

Advertisement