Anda di sini

Guna MyPR palsu, warga asing kena 28 bulan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan penjara 28 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin, kerana menggunakan MyPR palsu.

 Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Muntasir Majid, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

 Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak kurang RM3,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

 Tertuduhdidapatimelakukan kesalahan itu pada 24 Januari tahun ini antara jam 9 pagi hingga jam 2 petang, di sebuah kilang, Kelombong, Inanam, di sini.

 Semasa rayuan, Muntasir yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana mempunyai tanggungan.

 Namun, pihak pendakwaan menyatakan, tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dan perkara seperti ini amat berbahaya kepada keselamatan negara.

 Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap.

 Setelah tamat tempoh hukuman, mahkamah mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

 Pendakwaan itu dilakukan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 Dalam kes berasingan, seorang pengurus premis hiburan dikenakan penjara sehari dan denda RM10,000 atas kesalahan menjalankan operasi melebihi masa yang ditetapkan.

 Raymond Baggat, 34, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Hiburan Awam 1958.

 Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tempoh setahun, atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.

 Sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, mahkamah memerintahkan penjara enam bulan dikenakan.

 Kesalahan itu didapati dilakukan pada 24 Januari tahun ini jam 2.10 pagi, di Cowboy Borneo Coffe House, Kepayan Ridge, di sini.

 Pegawai Pendakwa Insp P.Nathan melakukan pendakwaan berkenaan.

Advertisement