Anda di sini

‘Gap Year’ lahir pelajar, pekerja lebih mantap

Advertisement
 Pembelajaran bukan sahaja sebagai tempoh pemulihan malah memberi peluang agar pelajar mendapat rehat yang amat diperlukan, dan pengalaman itu akan menjadikannya lebih matang, seimbang dan mendapat kebebasan yang amat diperlukan dalam kehidupan universiti. — Gambar hiasan
TEMPOH PEMULIHAN: Pembelajaran bukan sahaja sebagai tempoh pemulihan malah memberi peluang agar pelajar mendapat rehat yang amat diperlukan, dan pengalaman itu akan menjadikannya lebih matang, seimbang dan mendapat kebebasan yang amat diperlukan dalam kehidupan universiti. — Gambar hiasan
 Sistem pendidikan di kebanyakan negara boleh membantutkan kemampuan pelajar untuk melalui proses pemikiran bebas atau menerokai kecenderungan mereka.  — Gambar hiasan
KEMAMPUAN BERFIKIR: Sistem pendidikan di kebanyakan negara boleh membantutkan kemampuan pelajar untuk melalui proses pemikiran bebas atau menerokai kecenderungan mereka. — Gambar hiasan

KITA sering meminta remaja berusia 18 tahun supaya membuat keputusan besar tentang masa hadapan kerjaya dan kewangan mereka, sedangkan sehingga baru sebulan lepas mereka masih perlu memohon izin untuk ke bilik air.”

Kata-kata pakar teologi politik Adam Kotsko itu sememangnya tajam dan mempunyai maksud yang mendalam namun jelas memberi gambaran kepada kita mengapa ramai pelajar sukar membuat keputusan dalam memilih jurusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Ia juga secara tidak langsung menjelaskan mengapa ramai pelajar akhirnya silap memilih kursus di universiti, tercicir separuh jalan atau tidak mendapat pekerjaan walaupun setelah memiliki ijazah.

Hakikatnya adalah sistem pendidikan di kebanyakan negara boleh membantutkan kemampuan pelajar untuk melalui proses pemikiran bebas atau menerokai kecenderungan mereka.

Sistem ujian seragam dan sukatan pelajaran tetap sebenarnya memerlukan suatu tempoh yang dikenali sebagai ‘Gap Year’.

Program Gap Year adalah amalan biasa di luar negara dan lazimnya disebut sebagai ‘tempoh berehat’ selama setahun antara waktu tamat sekolah menengah dan sebelum mendaftar diri di institusi pengajian tinggi.

Semasa tempoh cuti daripada pembelajaran akademik, pelajar mungkin pergi melancong, melakukan latihan kerja, memulakan perniagaan, menyertai penyelidikan, menjadi sukarelawan atau melakukan beberapa aktiviti bagi memantapkan kemampuan diri.

PILIHAN               

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini mengumumkan bahawa kementerian akan melaksanakan program ‘Gap Year’ di lapan universiti tempatan mulai September ini.

Program itu akan ditawarkan sebagai pilihan kepada para pelajar yang telah mengikuti sekurang-kurangnya tahun pertama pengajian.

Bagaimanapun, ia juga boleh dibuat sebagai sebahagian daripada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sambil menambah kata bahawa kementerian sedang meneliti kemungkinan untuk bekerjasama dengan polis, tentera atau Jabatan Imigresen dalam melaksanakan program itu.

Sekiranya demikian, adalah diharapkan penyertaan dalam PLKN atau program lain di universiti akan dijadikan pilihan bagi pelajar yang ingin mengambil ‘GapYear’.

Sementara penyertaan dalam PLKN mungkin baik untuk pelajar yang berminat dalam bidang-bidang berkaitan, namun menjadikannya sebahagian daripada Gap Year pula menyimpang tujuan asalnya.

Program Gap Year bertujuan memberi ruang waktu dan peluang kepada pelajar membuat keputusan yang betul dalam memilih jurusan akademik dan seterusnyaberusaha mencapai kerjaya yang dicitakan.

Ini hanya dapat dilakukan dengan memberikan mereka masa untuk meneroka potensi atau kelemahan dalam bidang yang diminati.

Pengalaman itu akan menjadikan mereka lebih faham akan kemampuan dan kelemahan masing-masing, membantu menyingkirkan pilihan yang tidak sesuai di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya lebih yakin akan pilihan kerjaya masing-masing.

Ia juga membantu mereka membangunkan kemahiran insaniah yang amat diperlukan untuk berjaya dalam persekitaran kerja, sekali gus meningkatkan kualiti modal insan.

Mengarahkan pelajar mengenai apa yang perlu dilakukan sepanjang program Gap Year atau mengehadkan pilihan mereka akan membawa kepada situasi tidak produktif.

Oleh itu, program Gap Year mungkin akan lebih memberi manfaat jika diambil sebelum memasuki institusi pengajian tinggi.

Tempoh setahun untuk mengenal pasti kemampuan dan minat pelajar, boleh menghalang mereka daripada tercicir berikutan kurang kesesuaian atau tiada minat, sekali gus mengelakkan pembaziran dana biasiswa atau menanggung pinjaman tambahan pendidikan.

FAEDAH

Ibu bapa mungkin bimbang dengan tempoh Gap Year atas kebarangkalian anak mereka meninggalkan kursus-kursus akademik dan seterusnya hilang minat sama sekali untuk melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, universiti-universiti yang membenarkan malah menggalakkan program Gap Year mendapati pelajar-pelajar yang mengambilnya lebih cenderung ke arah mencapai prestasi yang lebih baik.

Di Amerika Syarikat (AS), American Gap Association yang mengumpul data-data berkaitan mendapati bahawa pelajar yang mengambil Gap Year 90 peratus lebih cenderung untuk kembali ke universiti dalam tempoh satu tahun, memperoleh GPA lebih tinggi, lebih melibatkan diri dalam aktiviti kampus, menamatkan pengajian dalam tempoh sepatutnya malah mempunyai pandangan lebih jelas mengenai cita-cita kerjaya mereka.

Lebih daripada itu, pelajar-pelajar yang telah menamatkan tempoh Gap Year didapati 75 peratus lebih “gembira” atau “sangat berpuas hati” dengan kerjaya mereka selepas tamat pengajian.

Universiti Harvard adalah satu daripada universiti di Amerika Syarikat yang telah mengamalkan program Gap Year sebagai pilihan sejak hampir 40 tahun lepas,walaupun amalan itu agak jarang di negara berkenaan.

Universiti itu, di laman sesawangnya, menyatakan bahawa perebutan untuk menyertai institusi pengajian terbaik bermula seawal peringkat tadika.

Oleh itu, para pelajar menjadi lesu selepas pembelajaran akademik untuk beberapa tahun berturut-turut.

Oleh itu, setahun di luar pembelajaran bukan sahaja sebagai tempoh pemulihan malah memberi peluang agar pelajar mendapat rehat yang amat diperlukan, dan pengalaman itu akan menjadikannya lebih matang, seimbang dan mendapat kebebasan yang amat diperlukan dalam kehidupan universiti.

Pada halaman kemasukan di laman sesawangnya, Harvard menyatakan bahawa ia juga mencadangkan pilihan untuk menunda kemasukan ke kolej selama setahun dalam surat tawaran.

Ia juga menyebut: “Lazimnya kira-kira 80 hingga 110 pelajar menangguhkan pembelajaran kolej sehingga tahun berikutnya.

Keputusannya rata-rata positif.

Akhbar harian pelajar Harvard, The Crimson, melaporkan pada 19 Mei 2000 bahawa pelajar yang telah mengambil cuti selama setahun memperoleh pengalaman yang “begitu berharga sehinggakan mereka ingin menasihati semua pelajar lain mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

Keseluruhan kadar lulus Harvard adalah 98 peratus, antara yang tertinggi di negara itu, mungkin sebahagiannya kerana begitu ramai pelajar yang mengambil cuti Gap Year.”

KISAH SESEORANG

Kenneth Yu Kern San yang meluangkan masa enam bulan di Gujarat dan Mumbai, di India selepas SPM mendapati pengalaman itu banyak merubah pandangan beliau.

Walaupun cuma untuk setengah tahun, lelaki berusia 35 tahun dari Tawau, Sabah itu berkata, pendedahan radikal kepada budaya yang berbeza telah memupuk pandangan baru dalam dirinya.

Timbul kecintaan dalam diri saya terhadap semua perkara berkaitan Bollywood, yang mana ia sesuatu yang sangat luar biasa bagi seorang Cina dari pekan kecil di Sabah ketika itu.

Dalam mengejar sesuatu yang berbeza, saya telah mencipta beberapa kejayaan dalam perniagaan yang menyumbang kepada kemajuan pesat kerjaya.

Malah, saya berkahwin dengan seorang rakyat Zimbabwe dan kami adalah satu-satunya pasangan seumpama itu yang pertama di Malaysia,” kata Yu, yang mampu menjana pendapatan tujuh angka dalam perniagaannya.

Beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pelajar yang mengambil Gap Year akan hilang minat untuk kembali ke bidang akademik.

Saya tidak sabar untuk menyambung pengajian pada ketika itu, kolej juga merupakan satu lagi idea dan pengalaman baru bagi saya, memandangkan saya belajar di sekolah kerajaan dan saya tidak sabar untuk didedahkan dengan persekitaran yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

Sejujurnya, saya tidak fikir akan kesan negatif program Gap Year terhadap trek akademik.

Kita hidup dalam dunia yang penuh pancaroba dengan penyesuaian diri adalah lebih bernilai daripada pengetahuan yang dipelajari.

Oleh itu, pendedahan kepada pengalaman baharu adalah penting dalam menjadikan individu itu berdaya tahan,” kata Yu, yang belajar di Universiti Monash, yang juga duta pelajar di situ. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement