Anda di sini

Duterte dituntut jelas kuasa tentera

Advertisement
JELASKAN: Duterte bercakap semasa upacara angkat sumpah jeneral baharu dalam tentera Filipina di istana presiden di Manila, kelmarin. — Gambar Reuters

MANILA: Kementerian pertahanan Filipina semalam meminta Presiden Rodrigo Duterte untuk mengeluarkan arahan kepada angkatan tentera bagi memainkan peranan dalam perangnya ke atas dadah, termasuk memberi kuasa kepada anggota tentera untuk menangkap polis ‘scalawag’.

 Kementerian itu meminta Duterte merasmikan kenyataan yang beliau buat dalam satu ucapan kepada jeneral tentera kelmarin, apabila beliau berkata beliau mahukan bantuan mereka dalam perang antidadahnya, dan menahan anggota sebuah pasukan polis yang menurut Duterte pada Ahad lepas adalah korup sepenuhnya.

 “Kementerian meminta arahan rasmi berhubung arahan presiden ini untuk dijadikan sebagai asas undangundang yang boleh dipatuhi anggota tentera kita.

 “Sehubungan itu, arahan lisan presiden untuk menangkap ‘polis scalawag’ juga harus diliputi arahan rasmi,” kementerian itu menyebut dalam satu kenyataan.

 Ketua polis Duterte mengarahkan Polis Negara Filipina (PNP) pada Isnin lepas untuk menggantung operasi antidadah mereka ekoran pembunuhan seorang ahli perniagaan Korea Selatan oleh penyangak dalam skuad dadah polis.

 Duterte berang dan malu dengan insiden itu yang menurutnya mempunyai implikasi antarabangsa.

 Cadangan Duterte agar tentera harus mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh polis menandakan satu perubahan kaedah yang mengejutkan oleh bekas datuk bandar itu, yang menyokong kuat pasukan polis di tengah-tengah dakwaan oleh kumpulan hak asasi manusia dan beberapa penggubal undang-undang tentang penyalahgunaan kuasa yang berleluasa.

 Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina, badan yang amat kecil jika dibandingkan dengan PNP, mengambil alih tanggungjawab dalam usaha memerangi dadah dan Duterte membayangkan beliau mungkin memerlukan bantuan tentera untuk membersihkan pasukan polis yang korup. — Reuters

Advertisement