Anda di sini

Album kompilasi terulung bakat anak-anak Borneo dilancar

Advertisement

MIRI: Hasil pencarian bakat di sekitar Bandaraya Miri melalui program Miri City Idol sejak 2015, kini terhasil sebuah album kompilasi terulung menggabungkan bakat anak-anak Borneo bidang seni nyanyian dilancarkan di sini kelmarin.

 Album kompilasi memuatkan sepuluh buah lagu karya komposer Julfekar Ahmad Shah merupakan terbitan Natz Production Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat rakaman milik anak jati Miri dirasmikan oleh Menteri Muda Solidariti, Rosey Yunus.

 Majlis itu turut menyaksikan perasmian cawangan baharu Natz Production Sdn Bhd di Miri merupakan syarikat produksi di bawah pengurusan Gading Kenyalang Sdn Bhd dan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) di sini.

 Rosey dalam ucapannya teruja pelancaran album kompilasi dan perasmian cawangan baharu itu berkata, generasi muda harus mencontohi usaha tersebut dan mengambil peluang sedia ada bagi mencapai kejayaan.

 “Usaha yang dilaksanakan Gading Kenyalang menerusi Natz Production harus dijadikan contoh generasi muda hari ini.

 “Ketabahan, kesabaran dan keghairahan menceburi bidang hiburan ini dibuktikan dan diharapkan menjadi contoh kepada belia kita bahawa kejayaan itu pasti tercapai namun dengan usaha gigih, komited dan konsisten,” katanya.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut memuji usaha Pengurus Besar Gading Kenyalang Sdn Bhd, Noraini Salleh Alision dalam berkongsi kejayaannya di Miri biarpun memulakan tapaknya di Kuala Lumpur.

 “Semangat juang ini yang kita mahukan walaupun berjaya dan menapak di Kuala Lumpur, hasil kejayaan diperolehi dibawa ke tempat lahir untuk dikongsikan bersama anak-anak muda di sini,” ujarnya.

 Terdahulu, Noraini dalam ucapannya bersyukur dengan pelancaran album kompilasi itu serta perasmian cawangan baharu Gading Kenyalang Sdn Bhd.

 Katanya, dalam usaha melaksanakan album tersebut pelbagai kekangan dan halangan dihadapi namun berjaya diharungi dengan kerjasama pelbagai pihak.

 “Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak terlibat termasuk warga Miri yang menjayakan projek ini dari pencarian bakat Miri Idol sehingga ke pelancaran album kompilasi ini,” katanya.

 Sementara itu, album kompilasi menampilkan sepuluh artis Miri City Idol 2015 dan 2016 iaitu Jeremiah, Elvin, Saphira, Faturrahim, Masturina, Dayang Bismi, Eira, Syuhada, Alisya dan Hamizan dengan kebolehan masing-masing pelbagai genre muzik seperti Jazz, RnB dan Pop Rock.

 Album tersebut mula dijual kepada umum dengan harga RM27.90.

 Mereka yang ingin membeli atau untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi urus setia Natz Production Sdn Bhd di talian 085-663781.

 Majlis itu turut diselitkan dengan persembahan artis terkenal Salamiah Hassan, Daqmie, Jaya Sapetar, MuzzyBand serta artis naungan Natz Prouction, Aleeya dan Nicole.

  • oleh
  • Advertisement