Anda di sini

Tiga bersaudara ditahan, syabu bernilai RM70,000 dirampas

Advertisement

SANDAKAN: Polis di sini bejaya menumpas kegiatan pengedaran dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM70,000 berikutan penahanan tiga bersaudara di Flat Majlis Perbandaran Sandakan, Karamunting di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya merampas syabu seberat 1,050 gram dan menahan seorang wanita berumur 37 tahun bersama remaja perempuan berumur 15 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang mana ketiga-tiga mereka mempunyai pertalian saudara.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan membuat intipan dan tugas risikan dadah, di flat berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Katanya, mereka ternampak ketiga-tiga perempuan berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang satu plastik berwarna hitam.

“Ketiga-tiganya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dalam plastik hitam itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Januari 2017 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sini pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi adalah menggunakan kanak-kanak dalam menjalankan kegiatan pengedaran syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Azhar berkata rampasan syabu kali ini adalah rampasan terbesar pada tahun ini.

“Sepanjang Januari ini sahaja, IPD Sandakan berjaya merampas sebanyak 208.56 gram syabu melibatkan 26 suspek,” katanya.

Selain itu katanya IPD Sandakan juga membuka siasatan 10 kes bagi kesalahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua kes bagi kesalahan mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Advertisement