Anda di sini

Permintaan kereta terpakai kecil, premium dijangka baik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun pasaran kereta terpakai secara keseluruhannya dijangka turun 30 peratus tahun ini, beberapa segmen akan terus mencatatkan prestasi baik, terutamanya di peringkat kemasukan kereta terpakai kecil dan kereta premium, kata iCar Asia Ltd.

Ketua bahagian kandungannya, Hans Cheong menjangka permintaan yang baik bagi peringkat kemasukan kereta terpakai kecil berharga RM60,000 dan ke bawah, namun peniaga akan berdepan dengan sedikit masalah bagi peralihan model Perodua

terpakai (kenderaan yang dikeluarkan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd atau Perodua).

Beliau berkata permintaan akan kekal baik bagi kereta terpakai premium bernilai RM150,000 dan ke atas.

“Penguncupan terbesar datang dari kereta untuk kelas menengah. Kereta keluarga bernilai antara RM60,000 dan RM150,000 bergerak perlahan dan peniaga mungkin enggan untuk menyimpan lebih banyak kereta dari lingkungan harga ini,” katanya kepada Bernama.

Data diambil daripada Carlist.my, platform iklan dalam talian memudahkan pembelian dan penjualan semua jenis kereta, bukan sahaja kereta terpakai, tetapi juga kereta baharu, yang diuruskan oleh Cheong dan pasukannya.

Disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia, iCAR Asia memiliki dan mengendalikan Carlist.my dan rangkaian serantau portal automotif dengan kedudukan utama di setiap tiga pasaran automotif terbesar ASEAN - Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Aktiviti di pengedar kereta terpakai perlahan dengan ketara. Namun, kita masih menyaksikan angka yang baik bagi individu memilih untuk menjual kereta mereka dalam talian.

“Jumlah ini tidak sebanyak pada 2015, tetapi kelembapan yang dialami dalam segmen ini kurang daripada yang dilihat dalam kalangan peniaga kereta terpakai,” kata Cheong.

Dalam persekitaran pasaran yang tertekan, beliau berkata lebih banyak orang akan memilih untuk menjual kereta lama mereka dalam talian untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

Dari segi pergerakan harga, Cheong berkata, terdapat sedikit peluang bagi kereta Proton dan Perodua, sama ada terpakai atau kereta baru, kerana tidak ada banyak ruang harga akan turun lagi.

“Kereta-kereta dalam lingkungan pertengahan dan premium menyaksikan penurunan terbesar dalam harga kereta baharu, yang seterusnya memberi kesan kepada nilai jualan semula mereka,” katanya.

Pengurangan ini disebabkan oleh insentif cukai kenderaan cekap tenaga (EEV) yang dipasang dalam negara.

“Walaupun nilai jualan semula dalam jangka pendek mungkin terjejas, yang lebih penting bagi jenama-jenama ini dapat berkembang dalam jangka panjang dengan kereta berharga lebih kompetitif, dan insentif EEV membantu untuk berbuat demikian,” katanya.

Cheong berkata jenama premium terkemuka sudah mempromosikan skim pajakan dan program kereta pramilik yang disahkan bagi memastikan nilai kereta terpakai mereka stabil.

Carlist.my menghubungkan pembeli kereta, penjual dan peminat kenderaan kepada satu platform, yang merangkumi iklan kereta dan kandungan bermaklumat, dengan lebih 160,000 senarai kereta terdapat dalam pangkalan data.

 Sementara itu, Mudah.my, satu lagi laman web iklan dalam talian yang disediakan terutamanya untuk pasaran Malaysia, berkata ketika ini ia mempunyai 104,618 penyenaraian aktif kenderaan persendirian dan syarikat, termasuk iklan kereta sebanyak 11,341.

“Jika 2017 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar bagi industri automotif, kami berharap dapat menyaksikan permintaan (yang kukuh) dalam segmen kereta terpakai.

“Dengan perbelanjaan pengguna domestik yang berhati-hati, kami berharap pengguna akan mempertimbang untuk membeli kereta terpakai sama ada untuk menaik taraf atau sebagai pengguna pertama.

“Kita boleh melihat peningkatan iklan di laman web kami, kerana ini seiring dengan permintaan berbanding penawaran,” katanya yang menguruskan pasaran terbesar di Malaysia dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Mudah.my dimiliki oleh 701Search Pte Ltd dari Singapura, usaha sama yang melibatkan Singapore Press Holdings Ltd, Schibsted Media Group dari Norway dan Telenor ASA. — Bernama

Advertisement