Anda di sini

Penjualan minyak masak bersubsidi perlu diperluas

Advertisement

SANDAKAN: Penjualan minyak masak bersubsidi RM2.50 sekilo perlu diperluaskan ke setiap daerah dengan menyasarkan rakyat yang memerlukan.

Buat masa ini keperluan minyak masak untuk kegunaan harian adalah sangat tinggi dan rakyat yang kurang mampu dapat menikmati penjualan minyak bersubsidi itu.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna memainkan peranan penting dalam membantu kumpulan sasaran iaitu yang berpendapatan rendah untuk mendapat minyak bersubsidi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penjualan Minyak Masak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, Batu 7 di sini kelmarin.

Sebagai wakil rakyat, beliau amat berharap program seumpama itu akan diperluaskan ke setiap kawasan dan daerah bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

Sejurus selepas program penjualan minyak masak bersubsidi di PPR Taman Murni, program itu diperluaskn ke PPR Batu 12. Pasaraya Giant antara yang menjual minyak masak bersubsidi.

Dianggarkan lebih 3,000 kilogram minyak telah dijual kepada rakyat di sekitar PPR Taman Murni dan PPR Batu 12.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Setiusaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Armani Mahiruddin, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Asnah Tahlil, Ketua Cawangan KPDNKK Sam Alimudin, Penolong Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Farizal Setoh, Ketua Wanita UMNO Sandakan Noraini Sulong dan Pengurus Stor Pasaraya Giant Elfriene S. Aguinaldo.

Advertisement