Anda di sini

Pengawal keselamatan bebas tuduhan rogol adik teman wanita

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang didakwa merogol adik teman wanitanya, Jun tahun lepas menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan itu.

Hakim Datin M. Kunasundary membuat keputusan itu terhadap Muhammad Syahir Naim Ramli, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Kunasundary berkata keterangan mangsa di mahkamah tidak konsisten dan tidak jelas dengan laporan polis yang dibuatnya.

“Mahkamah mendapati kredibiliti mangsa tidak boleh dipercayai kerana banyak percanggahan di dalam laporan polis, keterangan utama di mahkamah dan soal balas.

“Selain itu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh yang dijumpai di dalam rumah, tempat kejadian itu juga bukanlah bukti yang boleh menyabitkan tertuduh kerana di dalam rumah itu terdapat beberapa individu (lelaki) lain yang membawa masuk teman wanita mereka. Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya.

Muhammad Syahir Naim yang memakai baju T berkolar, jaket merah dan seluar jeans biru dilihat menangis dan memeluk bapanya yang berada di galeri awam sejurus selepas mahkamah membaca keputusan itu.

Pada 23 Jun 2016, tertuduh mengaku tidak bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam bilik di sebuah rumah di Jalan 9/56, Ulu Klang di sini pada 12.30 malam, 16 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Sebelas saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula September tahun lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd manakala tertuduh diwakili peguam S.S Seelan. — Bernama

Advertisement