Anda di sini

Pegawai tinggi lawan Trump dipecat

Advertisement
 Kombinasi gambar menunjukkan Yates (kanan) di Washington pada 8 Julai, 2015 dan Boente dalam gambar 10 Jun tahun sama di Alexandria, Virginia. — Gambar Reuters/AFP
INGKAR: Kombinasi gambar menunjukkan Yates (kanan) di Washington pada 8 Julai, 2015 dan Boente dalam gambar 10 Jun tahun sama di Alexandria, Virginia. — Gambar Reuters/AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin memecat pemangku peguam negara yang dilantik pentadbiran Obama, gara-gara mengarahkan peguam Jabatan Kehakiman agar tidak melaksanakan perintah ‘Muslim Ban’ beliau.

Rumah Putih membidas Sally Quillian Yates sebagai amat lemah dalam hal sempadan dan pendatang haram serta turut mengkritik Demokrat kerana masih belum mengesahkan pelantikan Jeff Sessions yang dipilih sebagai Peguam Negara.

“Pemangku Peguam Negara Sally Yates telah mengkhianati Jabatan Kehakiman dengan menolak untuk menguatkuasakan satu arahan yang sah dari segi undang-undang yang direka bagi melindungi rakyat AS,” menurut Rumah Putih.

“Arahan ini diluluskan bagi pembentukan dan kesahihan oleh Pejabat Perunding Perundangan di Jabatan Kehakiman,” katanya.

“Pada malam ini, Presiden Trump telah memecat Yates daripada tugas-tugas beliau.”

“Pendakwa raya perse-kutuan Dana Boente akan bertindak sebagai pemangku sehingga Senator Jeff Sessions disahkan Senat, di mana beliau telah dihalang secara salah oleh para senator Demokrat atas sebab-sebab politik,” tambahnya.

Dalam memo kepada kakitangan Jabatan Kehakiman, Yates, peguam kerajaan yang dinaikkan pangkat oleh Barack Obama, menyuarakan kecurigaan mengenai kesahihan dan moraliti dikri Trump yang telah mencetuskan bantahan umum.

“Tanggungjawab saya adalah memastikan kedudukan Jabatan Kehakiman bukan sahaja dapat dipertahankan dari segi undang-undang, namun telah dimaklumkan oleh pandangan terbaik kami bagi apakah itu undang-undang,” tulis Yates.

“Saya tidak yakin bahawa pelaksanaan arahan eksekutif adalah konsisten dengan tanggungjawab ini mahupun arahan eksekutif itu mematuhi undang-undang,” tambah beliau.

“Selagi saya masih memangku jawatan sebagai Peguam Negara, Jabatan Kehakiman tidak akan mengemukakan bantahan bagi mempertahankan arahan eksekutif, kecuali dan sehinggalah saya berasa yakin sesuai untuk berbuat sedemikian.”

Arahan Yates bermakna bahawa kerajaan, selama beberapa jam, tidak membenarkan mengambil wakil mahkamah dalam saman mencabar pengharaman itu.

Ia merupakan satu tindakan pembelaan berani terhadap seorang presiden bersuara tegas yang tidak bertolak ansur dengan keingkaran.

Ahad lepas, peguam umum dari 16 negeri termasuk California dan New York, mengecam arahan Trump sebagai tidak mematuhi perlembagaan dan berikrar menentangnya.

Dalam tindakan lewat malam yang berasingan diumumkan tanpa penjelasan oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly, Trump turut menggantikan Pemangku Pengarah Penguat Kuasa Kastam dan Imigresen Daniel Ragsdale.

Dua pemecatan dalam tempoh satu malam disifatkan menyamai ‘pembunuhan malam Sabtu’ oleh Presiden Richard Nixon semasa skandal Watergate.

Ketika itu, Nixon memecat pendakwa raya khas yang menyiasatnya, sebelum memecat Peguam Negara dan timbalannya gara-gara enggan membenarkan pemecatan pendakwa raya terbabit.

Kejadian itu kemudian menyaksikan Nixon sendiri didakwa. — AFP

Advertisement