Anda di sini

Kes bunuh: Dua lelaki ditahan selama tempoh diperkenan Sultan Selangor

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan dua lelaki yang didapati bersalah membunuh seorang warga Bangladesh empat tahun lepas, ditahan selama tempoh mendapat perkenan Sultan Selangor.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti semua keterangan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Pada 15 Dis 2013, kedua-dua tertuduh yang ketika itu berumur 17 tahun dengan niat bersama telah membunuh M. Monowaru Islam, 28, di satu lokasi di Seksyen 20, di sini pada kira-kira 7 pagi.

Perbuatan kedua-dua lelaki itu boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata meskipun kedua-dua lelaki itu kini berumur 21 tahun, ketika kejadian mereka merupakan pesalah kanak-kanak dan mahkamah terikat dengan peruntukan Seksyen 97 Akta Kanak-kanak 2001.

“Menurut undang-undang, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 melarang hukuman mati namun kedua-dua tertuduh tetap disabitkan dengan kesalahan tersebut.

“Mahkamah memutuskan sedemikian apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selain pembelaan terhadap kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata dan keterangan pembelaan tiada kebenarannya,” katanya.

Sejumlah 19 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gabriel Susayan. — Bernama

Advertisement