Anda di sini

Kebangkitan fenomena muzik rock dalam Rockanova

Advertisement

BAGI menyemarakkan lagi landskap dunia hiburan selain memberi lebih pilihan kepada para penggemar muzik di negara ini, Astro mengambil inisiatif baharu dengan mengangkat muzik aliran rock yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena muzik tempatan pada pertengahan tahun 1980-an menerusi program realiti terbaharu berjudul Rockanova yang bakal disiarkan di Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 29 Mac kelak.

Rockanova ialah sebuah pencarian bakat yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk mencungkil bakat nyanyian di kalangan peminat muzik rock.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga Malaysia dan Singapura dan tidak boleh terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan dengan mana-mana syarikat dan hendaklah berumur 20 - 40 tahun (pada tarikh ujibakat diadakan).

Mengulas mengenai program terbaharu ini, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, ”Selari dengan matlamat Astro untuk menjadi peneraju kandungan utama di negara ini, pihak kami sentiasa mencari peluang untuk terus memperbaharui pengisian kandungan yang ditawarkan bagi mempertingkatkan nilai kedudukan di pasaran demi memikat hati penonton.

”Menerusi pengalaman luas kami dalam menerbitkan program pencarian bakat seumpama ini, kami sedar bahawa bidang seni muzik adalah satu cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai. Manakala industri muzik tanah air pula sudah semestinya memerlukan kehadiran lebih ramai generasi pelapis bagi menyemarakkan lagi dunia seni terbabit.

”Program Rockanova bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program-program sedia ada lain yang pernah kami terbitkan. Menerusi Rockanova, kami bukan sahaja ingin mencungkil bakat dan kebolehan penyanyi yang berpontensi untuk menjadi pelapis aliran ini, malahan juga ingin mengangkat martabat muzik rock ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus meneruskan kesinambungan genre yang pernah satu ketika dulu menjadi fenomena ke generasi seterusnya,” tambahnya.

Dalam masa sama, Raqim juga mengakui, walaupun mungkin banyak genre muzik lain yang lebih mendominasi persada muzik tempatan, kami percaya muzik rock juga merupakan antara genre paling popular di Malaysia dengan jumlah peminat yang ramai tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang.

Justeru, program Rockanova dijangka bakal mencipta sebuah lagi fenomena baru dalam industri muzik tempatan kelak.

Bagi merancakkan lagi penganjuran musim yang pertama, kombinasi tiga ikon muzik dengan latar belakang portfolio dan reputasi yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air telah dilantik untuk menjayakan penerbitan Rockanova musim ini.

Rocker terkenal, Dato’ Awie dan komposer popular tanah air, Edry Abdul Halim bakal digandingkan bersama sebagai Juri Tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Manakala Dato’ Hattan pula dilantik sebagai Guru Vokal dan Persembahan yang bakal memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta supaya mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pelapis sekaligus memberikan saingan kepada penghibur sedia ada.

Tambah istimewa, kesemua ikon muzik tersohor ini juga turut dilantik sebagai juri tetap untuk sesi uji bakat bagi mengenal pasti calon-calon berpotensi untuk diketengahkan yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Februari 2017 di Anggerik Mall, Shah Alam.

Calon peserta akan dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan termasuklah daripada segi teknikal seperti kawalan suara, sebutan, pernafasan, intonasi, rentak, tempo, keserasian, harmoni penghayatan persembahan serta penilaian daripada segi karakter dan personaliti.

Raqim turut menambah, ”Barisan panel juri yang dilantik untuk mengadili sesi uji bakat pada kali ini bukanlah calang-calang kerana kesemua mereka bakal terlibat secara langsung dengan penerbitan musim ini. Berdasarkan pengalaman luas yang mereka miliki, kami pasti barisan juri akan dapat mengenal pasti kebolehan para peserta untuk diserapkan ke Rockanova.

Calon peserta yang berminat dinasihatkan untuk hadir dalam keadaan bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk meyakinkan barisan juri bahawa mereka layak untuk dibimbing dan diketengahkan.”

Menyedari perubahan bentuk komunikasi pengguna masa kini yang bersifat digital dan lebih interaktif, produksi Rockanova mengambil langkah proaktif untuk mendekati golongan sasaran kami dengan menjalankan uji bakat secara online untuk laluan pantas atau fast track yang mana calon peserta juga boleh memilih untuk menghantarkan penyertaan dengan memuat naik video nyanyian mereka dengan menggunakan kata kunci atau hashtag #bakatrockanova menerusi laman sosial Instagram.

Uji bakat secara online melalui Instagram terbuka bermula 23 Januari lepas hingga 12 Februari 2017 ini.

Selain itu, calon peserta juga diberi pilihan untuk menyertai sesi uji bakat menerusi platfrom radio rasmi Rockanova iaitu Sinar FM di segmen petang, Santai Sinar yang dikendalikan oleh penyampai radio Salleh Yaacob dan Feeya Iskandar bermula 23 Januari lepas hingga 12 Februari 2017 ini.

Pendengar hanya perlu nantikan isyarat memanggil di segmen petang, Santai Sinar pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 3.00 petang hingga 7.00 malam dan pilih salah satu lagu wajib yang telahpun disediakan.

Calon peserta yang berpotensi akan dijemput untuk menghadiri sesi uji bakat dengan laluan pantas (fast lane) di lokasi terpillih.

Lagu wajib untuk uji bakat Rockanova adalah Search - Pawana, Akim & The Majistret - Mewangi, Dato’ Awie - Ingatkan Dia, Muse - Plug In Baby, Nirvana - Come As You Are, Projektor Band - Sudahku Tahu, Faizal Tahir - Sampai Syurga, XPDC - Apa Nak Di Kata, MoJo - Romancinta, Aerosmith - I Don’t Want Miss A Thing, Sakura Band - Polaroid, Mulan Jameela - Makhluk Tuhan Paling Seksi, Nadia - Salam Untuk Kekasih, Ella - Dua Insan Bercinta, Joan Jett - I Love Rock & Roll, Shima - Setelah Aku Kau Miliki, Candy - Akan Ku Tunggu, Stacy - Jahat, Nicky Astria - Mengapa dan Evanescence - Bring Me To Life.

Program Rockanova turut memperkenalkan sistem pemarkahan yang berdasarkan 70% oleh pihak juri dan 30% berdasarkan undian SMS. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Advertisement