Anda di sini

Haruan makan anak kena 18 tahun lagi

Advertisement
 Tertuduh yang memakai pakaian seragam penjara berwarna merah diiringi oleh pegawai Jabatan Penjara.
HUKUMAN DITAMBAH: Tertuduh yang memakai pakaian seragam penjara berwarna merah diiringi oleh pegawai Jabatan Penjara.

KUCHING: Seorang penjawat awam dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 18 tahun lagi dan lima sebatan kerana merogol anak tirinya, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman bagi kesalahan sama, sebanyak 78 tahun penjara dan 35 sebatan.

Tertuduh yang berusia 54 tahun mengaku bersalah semalam kerana melakukan rogol sumbang mahram itu di hadapan hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad yang kemudiannya menjatuhkan hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh menukar-nukar pengakuan ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, menyebabkan hakim naik angin.

Dia berhadapan tiga pertuduhan di mahkamah, namun hanya mengaku kepada pertuduhan ketiga manakala bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu memberitahu, dirinya keliru dan tidak dapat mengingati tarikh insiden.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Februari untuk pengurusan kes bagi pertuduhan-pertuduhan yang dia tidak mengaku bersalah.

Minggu lepas, dia dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 30 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan terhadap dirinya di bawah Seksyen (1) 376B Kanun Keseksaan.

Semalam, hakim memerintahkan hukuman penjara untuk tempoh 18 tahun berkuat kuasa secara berturutan dengan hukuman terdahulu.

Dia berhadapan satu lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen lain di sini yang dijangka menjatuhkan hukuman pada 13 Februari.

Kes itu terbongkar selepas adik mangsa ternampak tangan tertuduh menyentuh bahagian sulit kakaknya.

Tertuduh tidak diwakili peguam bela dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash.

Advertisement