Anda di sini

Menyedari khasiat madu dorong Zaleha jadi pengusaha ternakan lebah kelulut

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (dua kanan) ketika mendengar penerangan Zaleha (kiri) berkenaan madu kelulut.
BERKHASIAT: Dr Abdul Rahman (dua kanan) ketika mendengar penerangan Zaleha (kiri) berkenaan madu kelulut.

MADU lebah sememangnya mempunyai khasiat tersendiri terutama dari aspek kesihatan kepada manusia.

Malah, ia sudah tertulis dalam al-Quran sendiri menyatakan bahawa madu lebah memiliki pelbagai warna serta mempunyai manfaat sebagai penawar kepada penyakit.

Menyedari akan kepentingan madu lebah tersebut, ia sekali gus membuka hati Zaleha Adenan sebagai salah seorang pengusaha ternakan lebah kelulut di Kampung Salak, Kuching.

Bermula secara kecil-kecilan pada awalnya tidak menyangka ternakan itu mampu membuahkan hasil lumayan kepada dirinya dan keluarga.

Namun, peluang itu tidak hanya digunakan untuk dirinya sendiri, sebaliknya dikongsi bersama penduduk kampung agar turut serta dalam industri desa dengan mengusahakan ternakan lebah kelulut.

Bercakap mengenai khasiat madu lebah atau lebih dikenali dengan panggilan madu kelulut, Zaleha berkata madu asli tersebut mampu menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Ia termasuk diabetes, strok, kanser, sakit sendi, penyakit kulit (jerawat) di samping menguatkan tulang, asma, ulser, batu karang serta mengurangkan kolestrol dan banyak lagi manfaatnya.

Zaleha berkata usaha menternak dimulakan secara aktif sejak tahun lalu yang pada awalnya melibatkan lima penternak sahaja.

Namun kini, jumlah itu katanya meningkat melibatkan 30 pengusaha yang mempunyai lebih 500 potongan kayu (log) sarang lebah kelulut bagi menghasilkan madunya.

Pada mulanya, kami hanya mencari dan menjual log kepada pembeli atau penternak kelulut di luar, tetapi pada satu ketika saya pun terfikir, kenapa tidak kami sendiri yang mengusahakannya.

Dari situlah, saya bersama pengusaha lain terus giat melakukan proses menternak dan menjual madu kelulut ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Salak. 

Menurutnya, proses mendapatkan madu lebah kelulut lebih mudah berbanding lebah berbisa, malah manfaatnya banyak serta kurang risiko.

Difahamkan kini Zaleha bersama pengusaha lain menternak dua jenis lebah kelulut iaitu Heterotrigona Itama (Itama) dan Tetrigona Binghami (Binghami) yang pastinya mempunyai karektor tersendiri.

Setiap batang kayu yang didiami koloni lebah kelulut diletakkan kotak kayu sebagai pelindung dan di bawahnya ratusan lebah kelulut bekerja mengisi tempayan madu, membina sarang  bagi menghasilkan madu.

Penghasilan madu kelulut ini katanya turut membuka minda dan mata kepada penduduk untuk mengusahakan industri desa di Kampung Salak sekali gus meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

Ini (madu kelulut) boleh dijadikan sebagai alternatif mata pencarian keluarga, selain menangkap hasil laut,” jelasnya yang tinggal di Pulau Salak di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Tambahnya, kejayaan tersebut turut dilakukan bersama hasil pendedahan program pembangunan usahawan desa yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama komuniti Kampung Salak.

Zaleha berkata, secara tidak langsung usaha menghasilkan madu kelulut di kampung tersebut akan mampu mempromosi kawasan itu kepada pelancong asing serta pembeli mahupun pembekal kepada pasaran luar negara.

Justeru, Pengerusi Pengusaha Madu Kelulut Kampung Salak itu berharap usaha mereka dalam mengeluarkan hasil madu kelulut di kampung tersebut mendapat perhatian serta berupaya dikenali sebagai pengeluar utama di negeri Sarawak.

 Salah seorang pengusaha madu lebah kelulut melihat log lebah kelulut di kediamannya.
BERHASIL: Salah seorang pengusaha madu lebah kelulut melihat log lebah kelulut di kediamannya.
  • oleh
  • Advertisement