Anda di sini

Kanada kecam serangan teroris di masjid

Advertisement

Enam maut dan lapan cedera ditembak dua atau tiga suspek bersenjata di Quebec City

QUEBEC CITY: Enam maut dan lapan cedera selepas penyerang bersenjata melepaskan tembakan dalam sebuah masjid di Quebec kelmarin, dalam kejadian yang dikecam Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau semalam sebagai serangan teroris.

Jurucakap polis Christine Coulombe memberitahu wartawan bahawa dua suspek telah ditahan dan polis menganggap kejadian sebagai serangan terorisme.

Trudeau berkata dalam satu kenyataan bahawa Kanada mengecam serangan teroris ke atas penganut Islam di ‘pusat penyembahan dan perlindungan’.

Warga Kanada Muslim adalah bahagian penting dalam fabrik negara kita dan tindakan tidak wajar ini langsung tiada tempat dalam komuniti, bandar dan negara kita.”

Menurut saksi yang ditemu bual televisyen tempatan, dua lelaki bertopeng memasuki masjid tersebut sekitar jam 7.15 malam kelmarin.

Motif serangan belum dapat dipastikan dan polis pantas menyita pekarangan masjid.

Coulombe berkata, mangsa yang terbunuh berusia antara 35 hingga 70 tahun.

Polis tidak menafikan kemungkinan suspek ketiga telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Presiden masjid Mohamed Yangui, yang tidak hadir ketika kejadian, menyatakan beliau telah menerima panggilan kecemasan daripada jemaah di tempat kejadian ketika solat Maghrib itu.

Kenapa kejadian ini harus berlaku di sini?

Ini adalah sesuatu yang kejam,” kata beliau.

Masjid tersebut pernah menjadi sasaran perbuatan kebencian di mana kepala khinzir ditinggalkan di atas tangganya pada Jun tahun lepas semasa umat Islam menyambut Ramadan.

Sejak beberapa bulan lalu, banyak lagi masjid di seluruh Kanada disasari dengan grafiti perkauman.

Kejadian berlaku ketika Kanada berikrar akan menerima pelarian tanpa mengira agama selepas larangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghalang rakyat dari tujuh negara Islam daripada memasuki AS kononnya demi keselamatan negara.

Seorang ahli perundangan Liberal persekutuan Kanada, Greg Fergus, menyatakan di dalam Twitter: “Ini merupakan satu tindakan keganasan, kesan akibat memburukkan umat Islam selama bertahun-tahun. Kata-kata diambil kira dan ucapan kebencian mempunyai akibatnya!”

Datuk Bandar New York Bill de Blasio menyatakan pihak polis sedang menyediakan perlindungan tambahan bagi beberapa buah masjid di bandar selepas kejadian tembakan di Quebec. “Semua rakyat New York harus berjaga-jaga. Sekiranya anda melihat sesuatu, menyatakan sesuatu,” nyata beliau dalam kenyataan Twitter.

Seperti Perancis, Quebec telah berusaha beberapa kali untuk menyatukan identiti sekularnya dengan populasi Islam yang bertambah, ramai daripada mereka dari Afrika Utara.

Kami tidak selamat di sini,” menurut Mohammed Oudghiri, yang biasanya solat di masjid tersebut di kawasan kejiranan kelas pertengahan, namun pada hari kejadian beliau berada di tempat lain.

Oudghiri menyatakan beliau telah menetap di Quebec selama 42  tahun namun kini berasa amat bimbang dan terfikir untuk berpindah semula ke Maghribi.

Kejadian tembakan beramai-ramai jarang berlaku di Kanada, yang mempunyai undang-undang senjata lebih tegas berbanding AS.

Hari yang menyedihkan bagi semua penduduk Quebec dan Kanada apabila melihat serangan pengganas berlaku di Quebec City yang aman,” menurut Mohamed Yacoub, pengerusi bersama pusat komuniti Islam di pinggir Montreal.

Saya berharap ini adalah insiden terpencil,” ujarnya ketika orang ramai mengadakan perhimpunan tanda perpaduan  masyarakat berhampiran. — Reuters

Advertisement