Anda di sini

Duterte akui polis Filipina amat korup

Advertisement

‘Operasi pembersihan’ akan dijalankan, perang antidadah dilanjut hingga 2022

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte semalam menyatakan pasukan polis yang melaksanakan perang antidadah mautnya sebagai amat korup hingga ke tunjangnya, namun melanjutkan kempen tersebut sehingga hari terakhir penggalnya pada 2022.

Duterte mengumumkan beliau berniat untuk membersihkan pasukan polis, selepas siri skandal menyaksikan anggotanya ditangkap atas pembunuhan, peras ugut dan rompakan dengan perang antidadah dipergunakan sebagai alasan.

Kamu sebagai anggota polis adalah yang paling korup.

Kamu korup hingga ke akarnya, ia sudah terpahat dalam sistemnya,” Duterte memberitahu wartawan ketika menyelar anggota polis antidadah yang dikatakan mendalangi pembunuhan seorang ahli perniagaan Korea Selatan di ibu pejabat polis negara.

Duterte menyatakan hampir 40 peratus pasukan polis terlibat dalam aktiviti haram.

Komennya dibuat tujuh bulan selepas beliau menjawat jawatan dan menugaskan polis sebagai pasukan barisan utama dalam rancangannya untuk menghapuskan dagangan dadah haram yang mengancam menjadikan Filipina sebuah negara narkotik.

Sejak itu, pihak polis dilaporkan telah menembak mati lebih 2,500 orang yang dituduh sebagai suspek dadah dan seringkali mendakwa mereka terpaksa menembak untuk mempertahankan diri.

Hampir 4,000 orang lagi mati dalam keadaan yang tidak dapat dijelaskan dengan mayat mereka dilabel sebagai pengedar atau penyeludup dadah, menurut statistik rasmi.

Sebaik memegang jawatan, Duterte melanjutkan tempoh perang antidadah sehingga Mac ini, namun semalam beliau menyatakan tiada penamat selagi beliau masih berkuasa.

Saya akan melanjutkannya hingga ke hari terakhir penggal saya.

Mac tidak lagi diambil kira,” terang Duterte.

Di Filipina, presiden hanya dibenarkan berkhidmat bagi satu penggal enam tahun.

Selepas komen Duterte dalam sidang media larut malam kelmarin, ketua polis negara Ronald Dela Rosa mengumumkan kesemua unit antidadah akan ditangguhkan ketika ‘operasi pembersihan’ dijalankan.

Bagaimana pasukan polis yang korup dan fasis, di mana kekebalan normal, boleh menghapuskan kegiatan jenayah seperti dagangan dadah haram,” menurut Renato Reyes, setiausaha agung BAYAN, pakatan kumpulan aktivis haluan kiri.

Duterte, peguam yang bersuara lantang, beberapa kali memberitahu pihak polis semasa kempen pilihan raya dan selepas memegang jawatan presiden bahawa beliau akan melindungi mereka daripada pendakwaan sekiranya mereka membunuh orang dalam sebahagian daripada perang antijenayah.

Beliau turut memberitahu polis ketika parti ulang tahun Dela Rosa bulan ini bahawa beliau akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti haram bagi menambah pendapatan.

Sertai penyeludupan, asalkan bukan dadah,” jelas Duterte.

Duterte menyatakan ketika parti itu beliau bersimpati dengan pihak polis kerana mendapat gaji yang amat rendah dan memahami keperluan mereka untuk mendapatkan lebih banyak wang dengan cara lain.

Maksud saya, saya bukan menyatakan bahawa anda perlu melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan.

Apa yang saya katakan adalah sehingga tiba masa kami (pihak kerajaan) boleh memberi lebih banyak lagi dan terdahulu seseorang menawarkan untuk membantu, terima sahajalah,” saran beliau. — AFP   

Advertisement