Anda di sini

CGC, BSN meterai Jaminan Portfolio RM50 juta untuk pembiayaan perusahaan mikro

Advertisement

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Malaysia Bhd (CGC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) baru-baru ini memeterai perjanjian Jaminan Portfolio (PG) sehingga RM50 juta bagi pembiayaan kepada perusahaan mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, ia merupakan PG pertama di Malaysia dalam menyokong segmen perniagaan mikro.

Beliau berkata, mengikut skim PG itu, perusahaan mikro boleh memohon sama ada kemudahan pembiayaan BSN Islam atau konvensional daripada RM5,000 hingga RM50,000 bagi tempoh tetap selama lima tahun.

Kami mahu menyediakan jaminan sehingga 70 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh bank melalui skim jaminannya.

RM50 juta ini adalah sebahagian daripada RM4.7 bilion yang kami sediakan tahun ini kepada kira-kira 9,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Pada 2016, CGC menyediakan 7,500 jaminan dan pembiayaan bernilai RM4.2 bilion. Daripada jumlah itu 74 peratus atau RM3.1 bilion adalah melalui skim PG dan jaminan borongnya.

Mohd Zamree berkata, CGC kekal komited untuk meningkatkan capaian PKS melalui program dan inisiatif bagi memenuhi keperluan teras ekonomi negara.

Beliau juga menasihati usahawan supaya meningkatkan kualiti, kuantiti dan pembungkusan produk masing-masing bagi membolehkan mereka menembusi pasaran pasar raya hiper.

Kami juga mahu mereka meneroka pemasaran digital, yang akan mengurangkan bajet pemasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata perkongsian antara bank tersebut dan CGC merupakan usaha ke arah menggalakkan transformasi perniagaan mikro di peringkat PKS.

Perkongsian itu akan mengukuhkan lagi kualiti peminjam dan membantu merangsang ekonomi Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement