Anda di sini

650 unit rumah mampu milik di Ramah Pavilion dijual

Advertisement

Projek juga dijangka siap lebih awal daripada jangkaan  

GEORGE TOWN: Sebanyak 650 unit, atau 86.7 peratus daripada unit rumah mampu milik di Ramah Pavilion, Teluk Kumbar di sini telah dijual, dan hanya terdapat 100 unit Jenis B dan Jenis C yang belum dijual, menurut pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang, M Summit Group.

Pengarah Urusannya Datuk Albert Moh berkata projek itu juga akan siap lebih awal daripada jangkaan tarikh siap sepenuhnya pada Mei 2018.

Projek Ramah Pavilion dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2018, tiga bulan lebih awal daripada jadual, dan kami menyasarkan untuk mengadakan satu lagi sambutan besar-besaran bagi pemilik rumah,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Ramah Pavilion yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini semalam.

Moh berkata, kumpulan sentiasa mencabar untuk menjadi kreatif dan inovatif dalam membangunkan projek kediaman atau komersial bagi pelanggan untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden mereka pada harga berpatutan.

Sejajar dengan komitmen kami untuk kekal cekap, kami menyasarkan untuk menyiapkan Ramah Pavilion pada Tahun Baharu Cina tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, Ramah Pavilion dijangka menjadi projek kediaman pertama di  Teluk Kumbar yang dibina di kawasan hutan dara, menggalakkan udara segar di kawasan hartanah itu.

Selain itu, ia juga mempunyai kemudahan yang menarik sama dengan projek kediaman pertengahan hingga mewah, untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata M Summit Group antara pemaju swasta pertama membina rumah mampu milik dengan projek Ramah Pavilion pada jumlah kos pembangunan sebanyak RM185 juta.

Unit-unit tersebut pada harga berpatutan RM247 hingga RM295 sekaki persegi, dengan keluasan daripada 800 kaki persegi kepada 1,350 kaki persegi dan kos daripada RM198,000 hingga RM398,000 setiap satu,” katanya.

Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang turut menjadikan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang sebagai keutamaannya.

Dalam hal ini, kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang akan mempunyai 14 projek rumah mampu milik yang dalam perancangan.

Ia menawarkan sebanyak 26,255 unit rumah mampu milik Jenis A (sebelum ini dikenali sebagai kos rendah), Jenis B (sebelum ini kos rendah sederhana) dan Jenis C (rumah mampu milik pada julat harga RM150,000 hingga  RM300,000) akan dibina untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Ramah Pavilion menawarkan sebanyak 759 unit. Setiap unit dilengkapi dengan tempat letak kereta dan pemilik rumah layak untuk membeli tempat letak kereta tambahan pada harga RM30,000, kadar terendah yang ditawarkan oleh pemaju swasta.

Projek itu juga mempunyai kemudahan kondominium -- kolam renang untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, kolam jakuzi dan gelongsor air. — Bernama

Advertisement