Anda di sini

Lebih 1,000 warga SMK Tinggi Sarikei sertai latihan kebakaran

Advertisement
 Demonstrasi memadam api dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk melibatkan penyertaan warga sekolah sambil dipantau oleh anggota bomba.
PADAM: Demonstrasi memadam api dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk melibatkan penyertaan warga sekolah sambil dipantau oleh anggota bomba.

SERAMAI 1,050 pelajar bersama 83 guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Sarikei telah menyertai sesi ‘Fire Drill’ dan Demonstrasi Alat Pemadam Api di Sarikei, baru-baru ini.

Program ini dianjurkan bagi memberikan pengetahuan asas kepada pelajar tentang langkah-langkah keselamatan dan tindakan yang sewajarnya mereka ambil apabila berhadapan dengan kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suna Kaha berkata, program latihan kebakaran perlu dilakukan di setiap intitusi pendidikan dan tempat-tempat awam bagi memberi pengetahuan kepada masyarakat sekiranya berlakunya kebakaran dan kecemasan.

Aktiviti dan kerjasama sebegini amat penting dan diingini oleh pihak bomba bagi mencegah sebarang kemungkinan sehingga boleh memberi kesan buruk seperti kerugian dan kemusnahan malah sesuatu yang lebih buruk juga mungkin terjadi seperti kematian.

Kita amat mengalu-alukan semua pihak, khususnya pihak sekolah untuk bekerjasama dengan kita bagi menganjurkan program yang serupa, untuk kebaikan bersama,” katanya.

Menurut Suna, pelajar harus diajar dan dilatih menyelamatkan diri apabila menghadapi situasi getir terutama semasa berlaku kebakaran.

Pendedahan seperti ini mampu mengurangkan risiko mereka menghadapi bahaya semasa kebakaran kerana mereka tahu tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Sehubungan itu, kepada golongan pelajar terutama yang tinggal di asrama harus diberi pengetahuan tentang perkara tersebut terutama langkah yang harus diambil dalam menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan kebakaran agar mereka tidak panik dan bertindak sembarangan,” tegas Suna.

Antara program yang telah dianjurkan pada sesi latihan kebombaan ini ialah ceramah kebakaran, latihan menyelamatkan diri sewaktu berlaku kecemasan, mengenali peralatan kebombaan dengan lebih dekat dan latihan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk.

Program ini turut melibatkan penyertaan sembilan anggota bomba bersama dengan sebuah jentera pemadam.

  • oleh
  • Advertisement