Anda di sini

KPT sedia kongsi pengalaman bina Rumah Komuniti dengan Ahli Parlimen

Advertisement

BESUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia berkongsi pengalaman membina Rumah Komuniti kepada mana-mana Ahli Parlimen yang merancang menyediakan tempat tinggal kepada penduduk miskin yang tidak mempunyai rumah di kawasan mereka.

Menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut berkata pihak yang berminat boleh meminta bantuan KPT yang sentiasa bersedia menyalurkan teknologi dan kepakaran untuk tujuan itu.

Beliau berkata pengalaman membina 100 Rumah Komuniti, yang dilaksanakan di Parlimen Besut menggunakan peruntukan Ahli Parlimen, amat bererti dan membolehkannya dikongsi oleh kawasan Parlimen lain.

Pembinaan 100 rumah berukuran 30 x 20 kaki dengan keluasan 600 kaki persegi dengan kos tidak melebihi RM20,000 merupakan kejayaan yang menjimatkan perbelanjaan dan memastikan rakyat susah dapat mempunyai rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Rumah Komuniti ke-100 di Parlimen Besut di Kampung Bukit Kenak dekat Jerteh di sini, semalam.

Idris berkata kejayaan membina 100 Rumah Komuniti itu akan diteruskan dengan pembinaan 100 buah lagi tahun ini dengan menggunakan kepakaran dan teknologi Amerika Syarikat dan Perancis.

Kalau pada mulanya Rumah Komuniti dibina dengan memakan masa selama sebulan tetapi dengan teknologi terkini pembinaannya dapat disingkatkan untuk 20 hari sahaja,” katanya.

Sementara itu, penerima rumah yang ke-100 itu merupakan pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) bisu iaitu Rafizan Mohamad, 43 dan isterinya Rohayu Awang, 45.

Mereka yang menyara hidup dengan mengambil upah menyiang ayam dengan pendapatan RM900 sebulan, tidak menyangka dipilih menerima rumah tiga bilik dan sebuah bilik air itu. — Bernama

Anak pasangan itu, Nurul Sharmila Talib, 24, berkata ibunya yang bisu sejak kecil berkahwin dengan bapa tirinya yang juga bisu, tiga tahun lepas.

Menerusi perkahwinan terdahulu, pasangan berkenaan kini mempunyai tujuh orang anak, tiga lelaki dan empat perempuan yang berumur antara dua hingga 25 tahun. — Bernama

Advertisement