Anda di sini

Pelaburan swasta ECER berjumlah RM13.5b pada 2016

Advertisement

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik pelaburan swasta berjumlah RM13.5 bilion tahun lepas, mengatasi sasaran RM12 bilion, dan menyumbang kepada keseluruhan pelaburan sebanyak RM101.1 bilion sejak 2008.

 Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata jumlah pelaburan yang memasuki wilayah itu setakat ini berjumlah 91.8 peratus daripada yang disasarkan iaitu sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

 “Pertumbuhan pesat ECER menyediakan banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan dengan lebih 130,000 pekerjaan baharu dan 23,000 usahawan baharu, memberi banyak manfaat kepada kumpulan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di kawasan bandar dan luar bandar di wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

 Beliau berkata, ECER mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan digabung pada 30 peratus dan 37 peratus masing- masing bagi pelaburan swasta dan peluang pekerjaan sejak 2008.

 Jebasingam berkata ECER juga mencatatkan pertumbuhan pelaburan swasta yang kukuh terutamanya dalam sektor-sektor utama iaitu pembuatan, pelancongan dan bioekonomi.

 Ketiga-tiga sektor itu secara terkumpul mewakili 80 peratus daripada jumlah pelaburan dalam ECER.

 Beliau berkata setakat ini, taman perindustrian di ECER berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah RM28.2 bilion.

 Taman Perindustrian Malaysia- China Kuantan (MCKIP) memperoleh pelaburan berjumlah hampir RM20 bilion dalam industri teknologi tinggi termasuk peralatan plastik dan logam, komponen automotif dan keluli.

 “Pelaburan terkini di MCKIP ialah projek bernilai RM4 bilion oleh Wuxi Suntech Power Co Ltd, China, dan rakan-rakan kongsinya, untuk membina pangkalan pengeluaran bagi sel solar dan peralatan tenaga hijau,” kata Jebasingam.

 Beliau berkata pangkalan pengeluaran itu akan menjadi kilang tunggal terbesar sel solar di Asia Tenggara dan berpotensi mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung.

 Menurutnya, sektor pelancongan juga mendapat rangsangan daripada pelbagai projek berimpak tinggi seperti transformasi projek Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu menjadi Bandar Pinggir Pantai Warisan yang meriah.

 Beliau berkata projek itu menarik pelaburan berjumlah RM5.6 bilion dan mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan.

 Projek pelancongan lain termasuk Kuantan Waterfront dan projek Pekan Heritage, termasuk Muzium Masjid Sultan Abdullah, yang dilancarkan baru-baru ini yang menyaksikan peningkatan kedatangan pelancong ke Pahang.

 Mengenai pemerkasaan Bumiputera, beliau berkata ECERDC, secara kerjasama dengan agensi persekutuan dan negeri yang berkaitan, terus menyediakan insentif, bimbingan dan perundingan perniagaan kepada usahawan Bumiputera.

 “Usahawan Bumiputera yang mendapat manfaat daripada inisiatif ECER dan dana pemudahan Teraju@ ECER berjaya menyumbang RM15.2 bilion, atau 19.4 peratus daripada pelaburan swasta, ke wilayah ini dan mewujudkan 16,700 pekerjaan bagi penduduk setempat,” katanya.

 Jebasingam berkata ECERDC juga terus melaksanakan program pembangunan modal insan dan melahirkan generasi baharu pekerja mahir dan usahawan dalam kalangan komuniti B40 sebagai sebahagian daripada strateginya untuk merapatkan jurang bandarluar bandar dan meningkatkan paras pendapatan.

 Beliau berkata lebih 60,000 orang daripada pelbagai latar belakang bangsa dan sosioekonomi mendapat manfaat daripada pembangunan modal insan dan program pembasmian kemiskinan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Suri@ Home, TERAJU@ECER, Agropolitan dan Akuapolitan.

 “Daripada 19,000 orang dewasa yang menyertai dan memperoleh kemahiran baharu menerusi program-program itu, 80 peratus menjadi usahawan dengan yang lain mendapat pekerjaan yang lebih baik.

 “Mereka seterusnya, membantu menjana lebih 28,000 pekerjaan bagi penduduk setempat,” katanya.

 Sementara itu, Jebasingam berkata majlis tersebut juga memulakan kajian semula strategik Pelan Induk ECER bagi memastikan strategi dan usahanya terus memacu transformasi ke arah dan selepas 2020.

 “Kajian semula ini akan mempersiapkan kami untuk memastikan sektor ekonomi ECER mengambil kesempatan daripada peluang baharu, hasil daripada peningkatan penyepaduan ke dalam rangkaian perdagangan global dan serantau, bagi memastikan matlamat kami membetulkan ketidakseimbangan serantau dan meningkatkan kehidupan dapat dicapai,” katanya.

 ECER adalah koridor ekonomi terdiri dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, yang merangkumi kawasan seluas 66,000 kilometer persegi atau 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia.

 Wilayah itu mempunyai sejumlah 4.3 juta penduduk, kira-kira 15 peratus daripada jumlah penduduk negara dengan pertumbuhan ekonomi dipacu oleh lima kluster ekonomi utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, perniagaan tani dan pembangunan modal insan dan keusahawanan. — Bernama

Advertisement