Anda di sini

Sweden yakin prospek perniagaan Malaysia

Advertisement

Prestasi cemerlang Malaysia, terus tarik syarikat Sweden untuk melabur di negara ini

KUALA LUMPUR: Sweden terus yakin dengan prospek perniagaan Malaysia dan berharap perdagangan meningkat pada masa akan datang, kata duta negara itu ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt.

Beliau berkata prestasi cemerlang Malaysia dalam mencatat pertumbuhan pada beberapa suku tahun yang lepas walaupun ekonomi global tidak menentu, terus menarik syarikat Sweden untuk melabur di negara ini.

“Pada fikiran saya, Malaysia adalah sebuah negara maju dengan institusi yang kukuh dan penduduk yang berpendidikan.

“Kami melihat masa depan dengan keyakinan yang lebih tinggi. Kami menyaksikan minat yang tinggi dan berterusan daripada perniagaan Sweden dalam mewujudkan operasi di sini dan di Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada seminar Pembuatan Cekap dan Digital semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi SME Corporation Malaysia, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Hafsah Hashim.

Juhlin-Dannfelt berkata pada masa ini, terdapat 86 syarikat Sweden dengan perniagaan yang kukuh di Malaysia, termasuk pengeluar kereta, Volvo.

Beliau juga berkata terdapat 20-30 syarikat Sweden mempunyai kepentingan langsung di Malaysia.

Beliau berharap Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain akan meneruskan rejim perdagangan bebas mereka dan memperluaskannya secara berperingkat pada masa akan datang.

“Langkah itu mempunyai potensi untuk menarik lebih banyak syarikat asing untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka, seperti Volvo,” katanya.

Menurut kajian dalam talian terkini yang dijalankan pada Nov-Dis 2016 oleh Business Sweden, Majlis Perdagangan dan Pelaburan Sweden, dapatan menunjukkan unjuran positif terhadap masa depan perniagaan di Malaysia.

Sebanyak 74 peratus daripada 72 syarikat responden daripada sektor pembuatan mempunyai nilai perolehan yang meningkat dalam tempoh tiga tahun lepas dan 90 peratus menjangka mencatat prestasi yang sama bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Lebih daripada 60 peratus syarikat merancang untuk melabur dalam program peningkatan kecekapan bagi syarikat mereka.

Pada masa akan datang, 47 peratus responden merancang untuk melabur dalam sistem pengurusan pengeluaran, khusus dalam produk plastik, jentera dan peralatan serta barangan logam dan logam.

Sementara itu, Ahmad berkata kemajuan Sweden dalam industri pembuatan perlu dicontohi oleh rakyat Malaysia, terutamanya dalam memanfaatkan teknologi untuk menjadi peneraju global dalam inovasi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Ini penting dalam menyediakan dan mentransformasikan negara ke arah Revolusi Industri Keempat 4.0, era teknologi baharu yang pada asasnya mengenai ‘kilang pintar’.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang masing-masing untuk kekal relevan dengan keperluan pekerjaan masa kini dan masa depan,” katanya.

Seminar sehari itu, merupakan anjuran bersama SME Corp dan Business Sweden, menumpukan kepada membimbing perusahaan kecil dan sederhana, terutamanya dalam sektor pembuatan, tentang cara untuk meningkatkan produktiviti dan menyepadukan rantaian nilai dengan melaksanakan proses dan penyelesaian yang inovatif. — Bernama

Advertisement