Anda di sini

Penyusutan nilai ringgit buka peluang tingkat eksport: FAMA

Advertisement

KOTA KINABALU: Penyusutan nilai ringgit membuka peluang lebih baik untuk para usahawan dan petani meningkatkan eksport makanan ke negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang menjualnya pada harga lebih mahal.

Pengarah Kanan Bahagian Pasaran Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaludin berkata ini sekali gus menguntungkan kalangan usahawan berkenaan, khususnya dari segi kadar atau nilai tukaran wang ketika ini.

“Oleh itu kita telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan lagi peluang eksport kepada para usahawan dan petani khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai potensi lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Ini disebabkan masih banyak produk di keduadua negeri itu yang boleh dibangunkan selain mendapat sambutan baik di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Fasilitasi Pengeksportan dan Penerokaan Pasaran Produk Sabah dan Sarawak ke Negara Timur Jauh di sini, semalam.

Bengkel sehari itu dihadiri seramai 60 peserta FAMA Sabah dan Sarawak serta wakil Bahagian Pasaran Antarabangsa Industri Asas Tani.

Nazipah berkata antara produk Sabah yang berpotensi dieksport termasuk buah limau bali, pisang, avokado, nanas, keropok amplang (diperbuat daripada ikan atau udang) serta kuih cincin.

“Antara produk berpotensi dari Sarawak pula ialah (kerepek sagu) tebaloi, lada putih dan serbuknya, sesar unjur (udang kering Sarawak), kek lapis serta buah rambutan,” katanya.

Mengulas penganjuran bengkel itu, Nazipah berkata ia bagi memperincikan perkara untuk mempertingkatkan peluang eksport, sekali gus meningkatkan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan di Sabah dan Sarawak.

“Ia turut memberi pendedahan kepada kakitangan FAMA dan agensi berkaitan mengenai produk di Sabah dan Sarawak yang berpotensi dikomersialkan di pasaran eksport terutama ke negara Timur Jauh khususnya di China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

“Selain berkongsi aspek prosedur pengeksportan produk segar dan proses khusus ke negara-negara itu, peserta turut diberi maklumat lain untuk membantu golongan sasar meneroka pasaran eksport secara lebih meluas,” katanya. — Bernama

Advertisement