Anda di sini

Keputusan AS petanda perjanjian TPP batal

Advertisement

Beberapa negara pertimbang pilihan untuk menjalin perdagangan dengan China menerusi RCEP

KUALA LUMPUR: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada pakatan Perkongsian Trans- Pasifik (TPP) pada Isnin lepas juga menandakan perjanjian berkaitannya tidak akan dilaksanakan, kata Moody’s Investors Service.

Pengarah Urusan Sekutunya, Marie Diron, berkata kegagalan pelaksanaan TPP itu hanya merugikan para pengeksport yang mahu mendapatkan akses lebih besar terhadap pasaran utama dunia.

“Kami sememangnya menjangkakan TPP dapat mengurangkan kos perdagangan dan membuka peluang pelaburan baharu bagi 12 negara anggotanya, terutamanya dari rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Diron berkata ekonomi negara-negara seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Mexico misalnya bergantung kepada eksport selain memaparkan dedahan perdagangan lebih meluas dengan kalangan anggota TPP.

Jelasnya, susulan penarikan diri AS daripada TPP, prospek bagi Vietnam dan Malaysia meningkatkan pendapatan dalam jangka masa pertengahan akibat pertambahan perdagangan, kini perlu dikaji semula.

Selain itu, beliau berkata beberapa negara juga menimbang pilihan untuk menjalin perdagangan dengan China menerusi Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Bagaimanapun, potensi urus niaga yang sedang dipertimbangkan itu tidak mungkin menyediakan manfaat ekonomi lumayan sepertimana TPP berikutan (kedudukan) negara anggotanya yang menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan rundingan dagangan TPP itu sebagai pemangkin pembaharuan dasar-dasar perlindungan sektor pertanian Jepun.

Tindakan pembatalan TPP juga, katanya, boleh menjejaskan dorongan perubahan struktur selanjutnya di negara anggota lain yang boleh merangsang daya saing, pelaburan serta peningkatan kualiti institusi.

“Kami tidak menjangkakan langkah pembaharuan yang sudah dilaksanakan sejajar (pelaksanaan) TPP akan diubah kepada asalnya,” katanya.

Menurutnya, Singapura misalnya adalah antara negara yang kurang terjejas akibat pembatalan TPP kerana memiliki perjanjian perdagangan dengan sembilan anggota TPP.

“Begitu juga Jepun dan Australia yang terdedah kepada usaha perdagangan dengan negara anggota TPP manakala produk eksportnya pula terus mendapat akses kukuh di pasaran global,” katanya. — Bernama

Advertisement